Skip to main content

Rencana

‘Sisterly Love’ – Nak juga jadi adik beradik Williams!

serena-thanks-inspiring-venus-after-historic-victory.jpg
Pada pertengahan era 90-an, ramai yang mengucapkan tahniah kepada Richard Williams kerana bakal membentuk “Michael Jordan” untuk dunia tenis.

Ucapan syabas itu ditujukan khas kepada Richard apabila seluruh dunia terpegun melihat kehebatan anak beliau, Venus Williams beraksi di gelanggang tenis.

“Salah”, kata Richard, pantas menafikan pujian itu.

“Saya bakal membentuk dua orang Michael Jordan”, tambah Richard, tidak mahu mengetepikan seorang lagi anak yang juga pemain didikannya dalam sukan tenis, Serena Williams.

“Dan percayalah, si adik lagi ganas daripada si kakak.”

Lebih daripada 20 tahun kemudian, seluruh dunia sentiasa menantikan perkembangan terkini adik-beradik Williams – Venus mahupun Serena. Seolah-olah kita telah melabel dua adik beradik ini sebagai “musuh ketat” dalam dunia tenis, sentiasa membandingkan adik dengan kakak, sentiasa berdebat siapa yang lebih layak digelar legenda – tiada apa yang boleh mengganggu keakraban mereka sebagai adik-beradik.

Baru-baru ini kita menyaksikan Venus dan Serena berhadapan satu sama lain di pentas final, satu lagi perlawanan berstatus “bersejarah” yang telah menerima tumpuan semua orang. Banyak mata yang memerhati, dan fokus diberikan kepada pentas final Terbuka Australia….

Saingan dan tekanan ketika perlawanan final terus meningkat dan ahh! Serena mematahkan raket tenis, jadi benar kata-kata Richard: Si adik lagi ganas!

Akhirnya kemenangan berpihak kepada Serena, dan ini merupakan gelaran Grand Slam ke-23 buat dirinya. Ramai yang terus melabel Serena sebagai G.O.A.T yang bermaksud terbaik sepanjang zaman….dan tiada siapa yang berani menyangkal kenyataan itu. Memang benar, Serena adalah The Greatest of All Time.

Namun apa yang membuat perlawanan final ini lebih manis? Bukan sekadar menang di hadapan seluruh dunia…namun menang di sebelah kakak yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan kepada adik. Begitu lah hubungan Serena dan Venus yang akan diingati sampai bila-bila.

Tiada perasaan iri hati, cemburu ataupun dengki yang terpahat pada hati mereka.

Tiada juga perasaan bangga diri dan sombong, berasakan diri lebih hebat.

Sebab itu lah saya kata, saya pun nak jadi adik-beradik Williams. Sokongan, kasih saying dan rasa hormat dalam keluarga ini amat jarang didapati…lebih-lebih lagi buat keluarga yang dikenali dan disegani seperti keluarga Williams.

Jika suatu hari nanti saya mempunyai dua orang anak perempuan yang meminati sukan yang sama, sudah pasti saya akan menceritakan kepada mereka tentang Venus dan Serena.

The Greatest sisters of All Time.

Advertisement

Must Watch Video