Skip to main content

Advertisement

Rencana

"Siapa Lagi Boleh Menang 12 Gelaran Terbuka Malaysia?"

chongwei.jpg
Jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, membuktikan dia tiada tandingan apabila meraih gelaran terbuka Malaysia kali ke-12 dalam karier.

Dia atasi tentangan hebat pemain Jepun, Kento Momota sebelum peroleh kemenangan di final sekaligus menebus kekecewaan tumpas kepada lawan yang sama di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2018 di Wuhan, China April lalu.

Di sebalik kejayaan ini, Chong Wei merupakan wakil tunggal Malaysia untuk mara ke final dengan beberapa lagi pemain negara hanya dapat meneruskan kemaraan hingga ke suku ahir.

Penulis berpeluang membuat liputan kejohanan ini ketika pusingan pertama dan paling mengecewakan sudah pasti bahagian beregu campuran yang gagal atasi lawan masing-masing.

Paling mendapat tumpuan sudah pasti gandingan Chan Peng Soon/Goh Liu Ying susulan kejayaan mereka bergelar juara Terbuka Amerika Syarikat tempoh hari.

Namun mereka gagal cipta impak di Terbuka Malaysia selepas kecundang kepada Wang Chi-Lin/Lee Chia Sin dari Taiwan dalam pertarungan straight sets.

Begitu juga dengan dua lagi gandingan iaitu Tan Kian Meng/Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat/Shevon Lai yang menerima nasib yang sama, kecundang kepada lawan dari China dan Taiwan.

Berbalik semula kepada Chong Wei, penulis merasakan tiada lagi pemain yang dapat mencabar pencapaian pemain berusia 35 tahun ini untuk menjulang kejuaraan Terbuka Malaysia sebanyak 12 kali.

Lupakan seketika pencapaian di peringkat antarabangsa yang lain, menjuarai kejohanan utama di tempat sendiri sebanyak itu belum tentu dapat dilakukan oleh mana-mana wakil negara.

Malah masih belum ada pengganti yang benar-benar bersedia untuk meneruskan legasi yang dibawa oleh Chong Wei bagi memastikan Malaysia punyai perseorangan lelaki yang mampu mencabar kelompok 5 terbaik dunia.

Harapan kini sudah pasti kepada Lee Zii Jia dan penulis percaya dia dapat penuhinya andai kekal konsisten selain memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang dimiliki.

Kepada Chong Wei, penulis "tabik" sama anda.
 

Advertisement

Must Watch Video