Skip to main content

Rencana

Siapa calon emas Tokyo?

gold.jpg
Tahniah kepada atlet negara kerana berjaya capai sasaran tujuh pingat emas Sukan Asia 2018.

Sukan penyumbang emas ialah boling tenpin (2), skuasy (2), pelayaran, basikal trek dan sepak takraw.

Secara keseluruhan Malaysia menghuni tangga ke-14 kedudukan pingat negara bertanding dengan tujuh emas 13 perak 16 gangsa.

Cuma kejayaan ini tidak cukup meyakinkan dalam memburu sasaran utama iaitu pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jika kita perhatikan senarai penyumbang emas di Jakarta dan Palembang, hanya basikal trek dipertandingkan di Olimpik sekali gus menyaksikan Azizulhasni Awang jadi calon tunggal pemburuan emas sulung temasya sukan terbesar di dunia.

Tenpin bowling, skuasy dan sepak takraw tidak dipertandingkan di Olimpik sementara pemenang emas pelayaran, Muhammad Fauzi Kaman Shah beraksi dalam acara yang tidak tersenarai di Tokyo.

Peluang terbaik ialah jika dia bertukar acara lain.

Kembali kepada topik utama.

Adakah ini realiti sukan Malaysia? Kita meraikan kejayaan atlit negara tetapi adakah kita berada di landasan tepat untuk capai sasaran utama?

Adakah wang rakyat dibelanjakan dengan betul?

Adakah ratusan juta ringgit yang dikeluarkan untuk program latihan dan menyertai kejohanan, meletakkan Malaysia di landasan yang betul untuk emas Olimpik?

Saya bercakap mengenai Program Podium, yang sudah dua kali gagal capai sasaran.

Sama ada Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Indonesia, kedua-duanya gagal meletakkan Malaysia dalam kelompok 10 negara terbaik.

Kita perlu mengakui program ini terpesong daripada sasaran sebenar. Adakah kita perlu terus menanti untuk menyaksikan satu lagi kegagalan, dua tahun lagi?

Bawalah pakar-pakar sains sukan dari seluruh dunia atau pegawai pengurusan terbaik eropah, apakah kita lebih perlukan mereka berbanding jurulatih terbaik dunia?

Bawalah mesin mengukur berapa banyak oksigen atau mengesan atlit menghisap rokok. 

Realitinya apakah kita membelanjakan wang dengan betul atau sekadar mahu nampak gah dimata negara lain sedangkan kita hanya memiliki seorang pemenang emas dalam acara dipertandingkan di Olimpik.

Mengapa deretan pemain badminton yang raih tiga perak Olimpik Rio gagal dinaikkan prestasi mereka untuk sekurang-kurangnya berada di final Sukan Asia?

Mengapa prestasi mereka tidak konsisten atau makin merosot sejak Rio?

Itulah sebenarnya jawapan mengapa Program Podium diwujudkan iaitu menutup kekurangan 5-10 peratus atlit negara untuk menukar warna perak atau gangsa kepada emas.

Penerjun, Pandelela Rinong/ Cheong Jun Hoong terpaksa dikecualikan kerana mereka menarik diri ekoran kecederaan.

Tetapi selepas dua tahun berada dalam Program Podium, adakah mereka sudah dapat mengatasi penerjun China yang membolot semua 10 emas di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno?

Dalam sidang media pasca Sukan Asia Chef de Mission, Datuk Seri Abd Azim Mohd Zabidi mengakui sasaran berjaya dicapai tetapi tidak Program Podium. 

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail serahkan soal rombakan Program Podium kepada Menteri Belia dan Sukan sementara Ketua Program Podium, P. Vellapandian mengumumkan rombakan senarai atlit akan dilakukan, hujung tahun ini.

Saya tidak menentang apa-apa perancangan pegawai sukan negara. Cuma adakah kita berada di landasan betul?

Alasan demi alasan diberikan, tiada pula pegawai sukan negara yang dikenakan tindakan. Selalunya, memang atlit yang akan digugurkan. 

Kita mempunyai tempoh dua tahun lagi untuk mempersiapkan diri menghadapi Olimpik Tokyo dengan saya mula rasa kagum mengenai peningkatan atlit Jepun. Sama ada 
Atlit Paling Bernilai, Rikako Ikee (renang) yang raih enam emas dua perak atau skuad hoki lelaki mereka yang menumbangkan The Malaysian Hockey Tigers pada final, semuanya membimbangkan pencabar lain.

Ikee baru berusia 18 tahun sementara purata usia skuad hoki Jepun ialah 24 tahun. 

Jadi kepada pegawai dan atlit Malaysia, anda memiliki dua tahun lagi untuk buru emas sulung Olimpik. Kami mendukung usaha dan misi itu tetapi soalnya adakan kita berada di landasan yang betul?

Advertisement

Must Watch Video