Rekod kemenangan enam kali berturut-turut oleh Pep Guardiola akan menjadikan beliau pengendali pertama dalam sejarah Liga Perdana Inggeris yang mencatatkan kemenangan berterusan kali ketujuh dari awal musim, jika dapat menewaskan Tottenham Hotspur.
Namun apakah semudah itu? Sudah tentu aura White Hart Lane tidak akan dapat direntap begitu senang oleh pelawat.
Jika diamati rekod musim lalu dalam kedua-dua pertembungan , Spurs menguasai dengan memenangi kedua-dua perlawanan.
Dan ketika ini juga Spurs berada satu tangga di bawah City yang berada dipuncak dengan beza empat mata.
Apa yang pasti, dua pasukan ini akan bertemu dan bakal beraksi tanpa beberapa pemain tonggak masing-masing akibat kecederaan.
Moussa Sissoko yang berdepan kecederaan kepala hujung minggu lalu mungkin akan beraksi namun kedudukan Harry Kane di senarai utama masih belum pasti.
Pertahanan City John Stones berkemungkinan akan diturunkan setelah tidak tersenarai dalam kesebalasan utama ketika menentang Celtic tempoh hari.
Kevin De Bruyne, Vincent Kompany dan Fabian Delph masih bergelumang kecederaan.
Pengendali Spurs, Mauricio Pochettino mengatakan mungkin mereka dilihat sedikit di belakang City, namun tumpuan mereka adalah untuk jangka masa panjang iaitu mereka mahu terus berjuang menentang nama-nama besar seperti Manchester City, Manchester United dan Liverpool.