Skip to main content

Rencana

Senario tujuh tahun Aguero

cover-aguero_1.jpg
Lebih enam tahun lalu, Sergio Aguero mengambil tindakan berani dalam kariernya apabila melengkapkan perpindahan bernilai GBP38 juta (RM207 juta) dari Atletico Madrid ke Manchester City.
 
Langkahnya berhijrah ke England dilihat sebagai usaha mengejar wang semata-mata kerana ketika itu, City bukanlah sebuah pasukan yang dipenuhi dengan trofi kejuaraan, namun Aguero lantang menegaskan bahawa dia yakin The Citizens bakal muncul sebagai pencabar utama setiap kejuaraan di masa akan datang.
 

 
Sejak tiba di Etihad, Aguero pantas memberikan impak besar buat pasukan apabila mencatat 23 jaringan dalam musim pertama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus menjadi watak utama dalam membantu City menamatkan penantian selama 44 tahun untuk menjulang trofi liga. 
 
Lebih manis, penyerang Argentina itu merupakan individu yang menyumbat gol kemenangan dalam waktu kecederaan ketika menewaskan Queens Park Rangers 3-2 dalam aksi terakhir musim 2011/12 untuk menamatkan saingan di tangga teratas liga mengatasi seteru setempat, Manchester United.
 
Aguero sekali lagi menjadi watak penting dalam memacu kejuaraan liga buat City dua musim selepas itu, sebelum meraih anugerah Kasut Emas buat kali pertama ketika musim 2014/15.
 
Penyerang berusia 29 tahun itu juga mencipta rekod cemerlang pada musim ini apabila mengatasi Eric Brook (177 gol) untuk muncul selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman buat City dan kini telah mencatat 197 jaringan dalam semua kejohanan.
 

 
Awal pagi tadi, Aguero sekali lagi memahatkan dirinya dalam nukilan sejarah The Citizens apabila membuat empat jaringan dalam sesuatu perlawanan buat kali keempat dalam saingan EPL.
 
Aguero juga meraih hatrik yang ke-12 bersama City dan kelapan dalam saingan liga, berkongsi jumlah dengan penggempur Tottenham Hotspur, Harry Kane. 
 
Tatkala musim 2017/18 diragui bakal menjadi permulaan kepada suramnya karier Aguero akibat daripada kehadiran Pep Guardiola pada musim lepas serta kebangkitan penyerang muda, Gabriel Jesus, dia membuktikan statusnya selaku legenda di Etihad apabila mencatat 21 jaringan ketika saingan berbaki tiga bulan lagi.
 

 
Jelas sekali dia menyahut cabaran dengan berani kerana biarpun Guardiola mengamalkan sistem giliran di antara Aguero dan Jesus sejak awal musim, ketiadaan penyerang Brazil itu akibat kecederaan pantas digunakan sebaik-baiknya oleh bekas produk belia Independiente itu.
 
Dalam masa sama, walaupun Kane mengetuai senarai penjaring terbanyak dengan 23 gol, bintang Argentina itu tetap mencuri perhatian dengan rekod purata masa 85 minit bagi setiap satu jaringan, mengatasi Mohamed Salah (92) serta Kane sendiri (96).
 

 
Aguero membuktikan bahawa selepas hampir tujuh tahun, dirinya masih lagi seorang penggempur yang relevan serta diperlukan di Etihad dan jauh di sudut pengurus pasukan lain, mereka pastinya mengidamkan peledak seperti Sergio "Kun" Aguero.

Advertisement

Must Watch Video