Skip to main content

Rencana

Semangat kerja berpasukan perlu ada dalam FAM

30417fam.jpg
'Jangan disangka air yang tenang tiada buaya' adalah perumpamaan yang paling sesuai kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Apa yang berlaku didalam pengurusan tertinggi FAM ketika ini amat memeranjatkan ramai pihak, terutama peminat bola sepak tanah air.

Belum pun setahun kepimpinan Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mentadbir FAM, sudah ada dalam kalangan ahli jawatankuasa eksekutif yang ingin menjatuhkan TMJ.

Ini satu berita yang kurang menyenangkan buat peminat bola sepak tanah air apabila ia didedahkan sendiri oleh Presiden FAM itu.

Apa yang penulis ingin nyatakan, kemelut yang dihadapi oleh Presiden FAM itu bukanlah perkara baharu yang melanda pengurusan bola sepak negara tetapi ia sudah lama berlarutan.

Ia bukan berlaku di dalam pengurusan FAM sahaja tetapi penulis percaya ia juga berlaku dalam pengurusan persatuan negeri, terutamanya.

Ini kerana kebanyakan persatuan negeri ditadbir oleh orang politik dan segelintirnya menggunakan bola sepak untuk membina tapak dalam kerjaya politik mereka.

Kenapa semua ini boleh berlaku? Sedangkan bola sepak kita masih lagi tertinggal di belakang.

Inilah yang dihadapi oleh industri bola sepak negara kerana kebanyakan pemimpin dalam persatuan tidak mempunyai "roh" sukan bola sepak itu sendiri yang menyebabkan mereka tidak mampu berfikir bagaimana untuk merancang dan melaksanakan program-program.

Selain itu juga, ada antara pemimpin ini tidak faham akan persatuan yang perlu keputusan melalui rundingan meja bulat.

Bagi pemimpin yang mempunyai kuasa di dalam persatuan, janganlah pula mengambil kesempatan di atas apa yang dimiliki, sebaliknya perlu bijak dalam memimpin persatuan.

Percayalah kepada ahli-ahli yang lain dan menggunakan meja bulat untuk berbincang dan membuat sebarang keputusan kerana muafakat di dalam persatuan itu amat penting.

Kepada ahli-ahli yang tidak sebulu atau tidak sehaluan dengan pemimpin tertinggi, janganlah membuat pakatan untuk menjatuhkan seseorang pemimpin itu kerana ia bukan satu budaya sihat, sebaliknya perlu dibawa ke dalam mesyuarat untuk dibincangkan apa yang rasa tidak senang dengan gelagat seseorang pemimpin itu.

Kepada ahli jawatankuasa eksekutif FAM, fokuslah pada visi dan misi yang telah ditetapkan. Janganlah bersengketa di antara satu sama lain kerana agenda utama anda adalah untuk memajukan bola sepak negara yang pada ketika ini berada pada tahap yang membimbangkan.

Janganlah kerana dendam dan kurang senang kepada seseorang itu, anda sanggup merosakkan bola sepak negara, sebaliknya bekerjasamalah sebagai "teamwork" kerana itu yang diperlukan dalam persatuan untuk mencipta kejayaan, bukan sahaja pemain-pemain di atas padang yang memerlukan "teamwork".

Advertisement

Must Watch Video