RENCANA
'Selamat Tinggal Paris'
Pada ketika ini peminat sukan negara sedang berada secara fizikal dan maya di Qatar dan tidak ambil tahu sangat apa yang sedang berlaku di Muscat, Oman.
Mereka sedang sibuk bercakap pasal bola Piala Asia Qatar sekarang. Muncul begitu ramai para pemerhati dan penganalisis bolasepak kita memenuhi sosial media. Malangnya tidak ramai yang mengikuti perkembangan skuad hoki negara kita.
Mereka seperti terlepas pandang dan tidak ambik kisah sangat kepada nasib skuad hoki negara 'Speedy Tigers' yang sedang beraksi nyawa-nyawa ikan pada peluang terakhir menentang Pakistan semalam untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Iklan
Saya merasakan peminat-peminat sukan negara bagaikan awal-awal lagi menjangkakan keputusan ini.
Akhirnya keputusan seri 3-3 dengan Pakistan semalam menyebabkan talian hayat skuad hoki negara kita terputus dan sekaligus meneruskan episod duka 24 tahun gagal layak ke Sukan Olimpik untuk enam temasya berturut-turut sejak Greece pada 2004.
Kali terakhir kita layak ke Sukan Olimpik adalah pada 2000 di Australia dan menduduki tempat ke 11. Pada waktu itu skuad negara di bawah bimbingan jurulatih tempatan iaitu Stephen Van Huizen.
Kegagalan demi kegagalan ke Sukan Olimpik berterusan sejak itu walaupun Kesatuan Hoki Malaysia pernah menggunakan khidmat jurulatih import, Paul Lissek (Jerman) 2001-2004, Paul Revington (Afrika Selatan) pada 2012-2014 dan Roelant Oltmans (Belanda) pada 2018-2020.
Akhirnya khidmat jurulatih tempatan yang pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih kepada Revington sewaktu di Ireland dilantik sebagai Ketua Jurulatih 'Speedy Tigers' sejak 2020 hingga kini.
Sejak 1956 kita layak ke Sukan Olimpik sebanyak 9 kali dan pencapaian paling bersejarah adalah ketika Malaysia menjadi tuanrumah pada 1975 dengan menduduki tempat ke empat termasuk kejayaan manis menewaskan Belanda 2-1 pada aksi penentuan peringkat kumpulan untuk layak ke separuh akhir.
Kegagalan demi kegagalan Skuad Hoki Negara ini sehingga kini sangat membimbangkan.
Ianya secara tidak langsung dan dibimbangi akan terus menghakis aura kehebatan serta minat dan keyakinan penyokong terhadap sukan hoki ini serta memandang rendah keupayaan skuad hoki negara nanti.
Saya dapati setelah kita gagal layak secara merit ke Olimpik Paris jika memenangi Pingat Emas di Sukan Asia Hangzhou 2023, peminat sukan hoki negara serta media sukan negara (tiada siaran langsung) seperti sudah tidak mengambil kisah sangat tentang penyertaan kita yang terpaksa beraksi pada pusingan talan hayat terakhir di Muscat, Oman untuk merebut dua slot terakhir ke Paris".
Nampaknya bedah siasat secara forensik dan menyeluruh perlu kita dilakukan untuk menyusun kembali pembangunan sukan hoki negara, mengkaji faktor kelemahan pemain, kaedah kejurulatihan yang digunakan dan sebagainya.
Kita juga perlu melihat sukan hoki negara ini yang dulunya diwakili oleh pelbagai suku bangsa dan kaum kembali dekat di hati peminat dan kembali mengerunkan pasukan lawan. Jika tidak sukan hoki kita akan terus 'struggle' dengan prestasi yang terumbang ambing begini.
Sekaligus juga nampaknya kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris nanti paling kecil, tak ramai yang layak. Jadi tak perlu ramai-ramai pegawai ke sana.
Must-Watch Video