Skip to main content

Rencana

Selamat kembali Sathia, Mehmet

satianathan-v-durakovic.jpg

Saingan Liga Super musim ini bertambah menarik apabila dua jurulatih yang pernah meraih kejuaraan Piala Malaysia kembali mengerah kudrat bersama pasukan baru.

Pengendali yang penulis maksudkan ialah bekas pengendali kebangsaan, Kelantan dan ATM, B Sathianathan serta bekas pengendali Selangor, Mehmet Durakovic.

Penulis amat mengenali kedua-dua pengendali ini dan percaya mereka mampu berjaya bersama Felda United dan Perak musim ini.

Sathianathan sudah hampir dua musim tidak terbabit dalam kancah bola sepak tempatan dan kehadirannya semula sudah pasti turut merancakkan kembali saingan musim ini.

Walaupun hanya berkhidmat sebulan sebagai Ketua Jabatan Kejurulatihan FAM, sudah pasti Sathianathan tidak boleh melepaskan peluang kembali sebagai jurulatih.

Felda jelas memerlukan pengendali yang mampu memberi nafas baru buat pasukan, selepas Azmi Mohamed melepaskan jawatannya dan Sathianathan jelas calon terbaik.

Kehadiran Shukor Adan sebagai kapten pasukan pasti memudahkan tugas Sathianathan memandangkan pemain kelahiran Melaka itu juga adalah kapten skuad negara ketika Sathianathan mengendalikan barisan negara dari 2007 hingga 2009.

Seperti Sathianathan, Durakovic turut beruntung apabila bekas kapten Selangor, Shahrom Kalam kini bersama Perak selaku ketua pasukan.

Walaupun Perak berada di kedudukan lebih baik berbanding Felda sebelum ini, Bos Gaurus masih tampak kurang konsisten.

Di bawah kendalian Karl Heinz Weigang sebelum ini,mereka tumpas 3-0 di tangan pasukan tangga pertengahan liga, PKNS FC tetapi mampu menewaskan juara bertahan Liga Super, JDT 2-1.

Tambahan pula sebahagian besar pemain Perak difahamkan tidak sehaluan dengan pendekatan Weigang mengendalikan pasukan walaupun sebahagian penyokong mereka mahu pengendali itu kekal.

Jadi pada pengamatan penulis, cabaran buat Durakovic adalah untuk memenangi hati peminat.

Penulis percaya bekas pertahanan import Selangor dan antarabangsa Australia itu mampu melakukannya berlandaskan pencapaian bersama Selangor sebelum ini pada musim 2014 hingga 2015.

Pada musim 2014, Selangor kehilangan ramai tonggak utamanya ke pasukan lain namun tetap berjaya muncul naib juara Liga Super.

Durakovic meneruskan kesinambungan peningkatan Selangor apabila menamatkan penantian sedekad, untuk mencapai misi 33 kejuaraan Piala Malaysia pada 2015.

Kedua-dua Sathianathan dan Durakovic beradu kekuatan taktikal dalam aksi pertama bersama pasukan baru minggu lalu yang berakhir dengan seri 2-2 yang penulis sifatkan sebagai keputusan adil buat mereka pada aksi pertama.

Kepada Sathianathan dan Durakovic, selamat kembali penulis ucapkan.

Advertisement

Must Watch Video