Skip to main content

Rencana

Selamat datang Liga Malaysia 2017

bola-sepak-malaysia.jpg

Musim baru yang kunjung tiba di sebalik pelbagai kontroversi yang menenggelamkan berita penghijrahan dan pembelian pemain hebat saban tahun, masih menarik minat ramai pengikut setia bola sepak Malaysia.

Pencarian penulis mengenai laporan pemain yang beraksi musim ini di laman web mahupun blog akhirnya membawa kepada satu tulisan dari Indonesia.  Tajuknya mengundang kemusykilan, betapa ramai pemain dari negara sebarang yang mewarnai kancah bola sepak kita.

Keinginan untuk tahu pun dillunaskan.

Namun bukan senarai yang menarik perhatian penulis tetapi pengaruh besar hampir kesemua pemain ini kepada liga kita, tidak kira di saingan Super atau Perdana.

1. Safee Sali

Mungkin namanya sedikit sendu di Johor sebelum melangkah ke PKNS. Namun itu dikatakan jalan terbaik untuk Safee kembali menyegarkan namanya, segah dia di kebanyakan hati peminat setianya di Indonesia. Walaupun bukan kembali ke pangkuan pasukan yang menaikkan namanya, Selangor, Safee dijangka sedikit sebanyak mampu menarik minat pengikut merah kuning untuk turut menyokong skuad E. Elavarasan ini.

2. Ilija Spasojevic

Sama seperti Safee, kredibilitinya masih diintai pemerhati bola sepak Indonesia. Sudah pasti kerana jodohnya yang agak panjang di negara jiran dan hubungan baiknya yang tetap berjalan dengan bekas kelab, Persib Bandung. Mungkin juga kerana prestasi pemain kelahiran Yugoslavia ini yang semakin meningkat bersama Melaka sehingga diangkat sebagai kapten pasukan dan akan sekali lagi diuji di saingan bola sepak utama.

3. Andik Vermansyah

Bukan sahaja kehilangan penyokong, Andik Vermansah adalah antara tonggak yang masih kekal bersama Selangor tatkala wira lain seperti Hazwan Bakri angkat kaki ke Johor Darul Takzim. Kesetiaan bukan perkara asing buat Andik kerana usia remajanya dihabiskan bersama Persebaya Surabaya sehinggalah dia mengambil keputusan untuk bersama Selangor pada 2014.

3 nama yang penulis petik ini akan membuka tirai 2017 bersama pasukan masing-masing pada Sabtu.  Selamat berjaya diucapkan dan diharapkan mampu merancakkan lagi saingan musim ini. 

Advertisement

Must Watch Video