RENCANA
Selamat Berjuang di Gold Coast!
Sejak bermulanya Sukan Komanwel Gold Coast 2018 pada 4 April lalu, Dayang walaupun tidak ke lokasi pertandingan, tetapi secara peribadi mengikuti perkembangan atlet-atlet Malaysia yang bertanding di Gold Coast setiap hari disamping tugasan bersama Astro Arena di tanah air.
Bermulanya dengan perarakan kontinjen Malaysia pada upacara pembukaan, dimana kontinjen Malaysia bergaya mengenakan pakaian tradisi berwarna merah dan biru, Dayang yang menyaksikan secara langsung di saluran 802HD berasa amat teruja dan berbangga apabila Jalur Gemilang dikibarkan dan mendapat tepukan gemuruh penonton di Stadium Carrara.
Tapi itu hanya permulaan, keesokannya iaitu pada 5 April, Malaysia dihadiahkan 2 pingat emas menerusi acara angkat berat. Individu yang menghadiahkan emas buat Malaysia ialah Muhammad Azroy dan Aznil Bidin menerusi kategori 56kg dan 62kg.
Namun langit tak selalu cerah, disebalik kejayaan skuad angkat berat, kontinjen kita juga terpaksa akur apabila gagal membawa pulang sebarang pingat bagi beberapa acara sukan teras. Antaranya, sukan berbasikal trek dimana atlet harapan Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapha dan beberapa atlet lagi tidak berjaya menghadiahkan pingat buat Malaysia.
Iklan
Gimnastik, boling padang dan renang juga buat masa sekarang masih belum menghadiahkan sebarang pingat buat Malaysia.
Sukan hoki lelaki pula dikejutkan sewaktu berdepan England dimana kita dibelasah 7-0, namun kejayaan menewaskan Wales 3-0 dalam perlawanan kedua kembali membuka laluan buat Malaysia untuk sekurang-kurangnya menepati sasaran melangkah ke peringkat separuh akhir.
Bagi sukan skuasy pula, Datuk Nicol Ann David dan Nafiizwan mempamerkan semangat melawan yang sangat baik dengan bangkit menumpaskan lawan masing-masing untuk mara ke peringkat separuh akhir. Datuk Nicol bangkit dari tewas dua set, untuk menang tiga set ke atas Alison Waters, manakala Nafiizwan melakukan kejutan menyingkirkan juara bertahan, Nick Matthew juga dengan keputusan 3-2.
Dengan Sukan Komanwel baru sahaja membuka tirainya, masih banyak lagi acara belum dipertandingkan dan Dayang percaya kita mampu menggapai sasaran sekurang-kurangnya melebihi 6 pingat emas yang dipungut di Glasgow pada 2014. Dayang dan seluruh rakyat Malaysia sentiasa mendoakan kejayaan buat kontinjen Malaysia disana agar mampu mengharumkan nama negara di mata dunia.
Must-Watch Video