Mengenali Pandelela Rinong sememangnya diakui dia seorang yang mudah didekati, peramah dan murah dengan senyuman.
Sekian lama tidak bersembang panjang dengan ikon negara ini, penulis tertangkap kepada satu seloroh Pandelela berkait masa depan sukan terjun negara di mata dunia.
'Saya gembira lihat perkembangan atlit pelapis, maklumlah saya semakin tua.'
Seloroh Pandelela disulami gelak tawa tapi pernyataan itu begitu berbekas di hati penulis.
Walaupun Pandelela masih segar dengan kejayaan membawa pulang pingat Perak di Olimpik tempoh hari, namun anak jati Sarawak ini tidak pernah gagal memikirkan masa depan sukan terjun negara dan apa yang akan berlaku sekiranya kudrat 'The Lulu Dolphine' sudah sampai di penghujungnya.
Penulis berpeluang membuat liputan di Kejohanan Terjun Grand Prix Fina di Kuching, Sarawak sempat bertanya kepada Pandelela, sebagai atlit berpengalaman apa yang bakal berlaku bagi tempoh dua tahun akan datang merujuk kepada kelibat atlit pelapis yang berada di bawah pengawasan Majlis Sukan Negara (MSN) ketika ini.
'Mereka memiliki kemahuan dan keupayaan yang sama seperti saya, malah kecergasan mereka lebih baik daripada saya, saya yakin sukan terjun kita semakin menghampiri kehebatan negara-negara luar terutama China.' ujar Pandelela merujuk kepada kelibat penerjun muda negara Kimberly Bong yang baru berusia 13 tahun.
'Kecergasan saya tidak setanding mereka, saya sudah banyak mengalami kecederaan, mereka masih muda dan tanpa kecederaan, mereka mampu pergi lebih jauh.'
Bagaimanapun itu bukan lah bayangan untuk Pandelela mengumumkan persaraan sebaliknya dia sudah memasang niat awal untuk mencipta banyak lagi kejayaan tahun hadapan.
Keterujaan gadis berusia 23 tahun ini turut terarah kepada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di mana sudah semat sasaran terbaiknya nanti.
'Ia hanya Sukan Sea tetapi mencipta kejayaan di negara sendiri adalah sesuatu yang cukup istimewa.' Ujar Pandelela sebelum mengakhiri perbualan kami.
Semoga terus berjaya Lulu !