Selepas 543 perlawanan Wayne Rooney akhirnya menyamai rekod jaringan sepanjang zaman Manchester United milik legendanya Sir Bobby Charlton.
Jaringan ke-249 untuk mengikat kedudukan Charlton hadir menerusi pertembungan pusingan ketiga piala FA 2017 ke atas Reading di Old Trafford.
Mungkin sedikit bernasib baik bagaimana Rooney memastikan terbitnya catatan sejarah itu dengan gerakan cantik satu pasukan disempurnakan penyerang menggunakan lututnya.
Tetapi Old Trafford tetap gemuruh,Charlton turut berbangga begitu juga Sir Alex Ferguson,individu yang bertanggungjawab membawa Rooney ke United.
Antara 249 jaringan itu ada sebilangan besar yang secara peribadi saya anggap menakjubkan.
Tiga yang pertama,saya bersengkang mata waktu usia belasan tahun menyaksikan pertembungan Liga Juara-Juara Eropah.
Rooney akhirnya membuat penampilan sulung buat the Red Devils dan yang menyusul adalah sesuatu yang tidak diduga.
Hatrik dalam debut buat remaja sensasi England ketika itu bersama kelab paling disegani England di pentas tertinggi dunia,magis.
Selain volley dia menentang Newcastle gol paling istimewa Rooney yang lekat di hati saya adalah jaringan kemenangan ke atas Manchester City.
12 Februari 2011,Old Trafford, kedudukan terikat satu sama rooney meledak menerusi penyudah gunting benar-benar puisi dalam gerakan.
Sebagai kapten yang dihormati di United,Rooney hanya memerlukan satu lagi jaringan untuk mengatasi rekod Charlton.
Mungkin detik itu akan hadir apabila United bertemu Hull dalam saingan piala liga.
Tetapi skrip yang lebih baik adalah untuk Rooney cipta sejarah itu apabila United dan Liverpool berentap dalam saingan liga 16 Januari Ini.
Ayuh Rooney,satu lagi jaringan,di Old Trafford,ke atas Liverpool,pasti lebih manis.