Skip to main content

Rencana

Sasaran pingat tekanan atlet

16117sukansea.jpg

Geli hati mengimbau semua perang mulut saya dengan beberapa pegawai sukan negara mengenai sasaran pingat Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Mereka mendakwa sasaran pingat akan beri tekanan tambahan terhadap jurulatih dan atlet negara dalam misi memastikan Malaysia muncul juara keseluruhan.

Tetapi, bukankah sasaran muncul juara keseluruhan itu sudah jadi satu tekanan?

Jika mahu jadi juara keseluruhan, mesti ada perancangan, sukan lubuk emas, perkiraan pingat untuk Malaysia dan negara lain.

Mengapa sasaran pingat Sukan Sea dirahsiakan sedangkan ia sudah didedahkan kepada jurulatih setiap 38 sukan yang akan membawa atlet mereka berjuang di Sukan Sea Kuala Lumpur?

Itulah realiti sukan di Malaysia.

Jika gagal, jurulatih dan atlet akan dipersalahkan.

Tetapi, yang pegang jawatan tinggi jarang diberi tekanan.

"Jika kita mendedahkan perkara ini, dibimbangi ia akan jadi senjata negara jiran. Malah ia akan menambah tekanan kepada kontinjen kita," kata pegawai sukan negara.

Soalnya, siapa sebenarnya yang tertekan? 

Saya bertanya kepada beberapa atlet dan jurulatih, mereka boleh menerima sasaran pingat kerana setiap minit yang dihabiskan di padang latihan semata-mata untuk mengejar kejohanan yang disasarkan.

Malah, beberapa daripada mereka sempat mengimbau detik apabila berjaya jadi penyumbang pingat sasaran kontinjen negara pada temasya sukan lalu.

"Kami akan memegang kad besar yang sudah ditulis pingat emas ke 10, 42 atau apa saja nombor. Ia satu penghormatan," kata seorang atlet.

Jadi 109 emas untuk Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Sekarang, siapa yang tertekan?

Advertisement

Must Watch Video