Skip to main content

Rencana

Sanchez, badi jersi no. 7 Man United

gaban1-(1).jpg
Jersi nombor 7 sudah lama dianggap keramat di Manchester United. Namun, sambil segelintir pemakainya mengukir nama sebagai legenda, sebilangan yang lain pula menanggung sumpahannya.

Alexis Sanchez adalah pewaris terbarunya dan hanya masa akan menilai dalam golongan mana dia akan berada kesudahannya.

Namun, tanda-tanda awalnya adalah positif.

Jualan jersi pada bulan pertama tahun ini adalah tiga kali ganda daripada angka tertinggi sebelumnya, dengan kebanyakannya adalah jersi no. 7 dengan nama Alexis di belakangnya.

“Langkah menandatangani Alexis Sanchez telah mencatat satu rekod baru buat Manchester United daripada segi jualan jersi bagi bulan Januari,” dedah Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward.

Sebagai mencerminkan perpindahan moden dan bagaimana kelab-kelab menilai prestasi mereka, Woodward juga memberitahu pemegang saham kelab itu bahawa pembelian Sanchez menyaksikan perkongsian terbanyak hantaran dalam Instagram, Twitter dan Facebook.

Malah, perpindahan itu membawa kepada 75 peratus lebih banyak interaksi di atas talian daripada perpindahan dengan yuran rekod dunia Neymar ke Paris Saint-Germain (PSG).

Namun, persoalannya ialah bagaimana Sanchez, yang ditandatangani dengan perjanjian empat setengah tahun bernilai bernilai kira-kira £14 juta (RM76.5 juta) setahun di samping yuran perpindahan kira-kira £35 juta (RM190 juta) kepada Arsenal, mampu menyerlah dalam jersi keramat itu.

Sejak pengguna jersi itu, Cristiano Ronaldo, dijual kepada Real Madrid sembilan tahun lalu, Michael Owen mewarisinya dan hanya mampu menyumbat lima gol dalam tiga musim sebelum membawa diri ke Stoke City.

Antonio Valencia adalah pemain berikut yang memakainya tapi bergelut dengan tekanan yang dibawanya. 

Selepas musim pertamanya dibelenggu kecederaan dan kehambaran, dia memutuskan untuk beralih kepada jersi no. 25 sambil mengharapkan perubahan nasib. 

Selepas Valencia, United menyerahkan jersi keramat itu kepada pembelian bernilai £59.7 juta (RM325 juta), Angel Di Maria. Tapi pemain sayap antarabangsa Argentina itu turut terkena badinya dan berpindah ke PSG selepas hanya semusim. 

Pemain terakhir yang memakai jersi no. 7 United ialah Memphis Depay yang serba tak kena dengannya – di sebalik menjanjikan harapan besar selaku Pemain Muda Terbaik Dunia 2015 ketika ketibaannya -- sebelum memilih jalan keluar ke Lyon dalam Ligue 1.

Selepas lima perlawanan dalam jersi keramat United itu, Sanchez hanya boleh berbangga dengan satu gol dan dua bantuan jaringan di samping turut menyaksikan United kalah dua kali dalam tempoh itu.

Keadaannya harus tidak akan bertambah mudah buat pemain berusia 29 tahun ini.

Must Watch Video