RENCANA
Ronaldo 'mamam' Juve
Real Madrid mencatat kemenangan bergaya ke atas Juventus dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah dengan kemenangan 3–0 di Turin, awal pagi tadi.
Paling mencuri tumpuan tentunya Cristiano Ronaldo yang meledakkan dua gol dan satu bantuan gol yang sekaligus merobohkan kekebalan benteng pertahanan Juventus yang dibarisi Gianluigi Buffon, Giorgio Chellini, Andrea Barzagli, Kwadwo Asamoah dan Mattia De Scoglio.
Penulis yang menyaksikan perlawanan itu berasakan penguasaan bola adalah seimbang pada separuh masa pertama apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Cuma tuah sedikit menyebelahi Los Blancos apabila berjaya menggegar jaring selain persembahan baik yang dipamer Keylor Navas selaku benteng terakhir Real Madrid.
Iklan
Tidak dapat dinafikan, perlawanan tersebut memang milik Cristiano Ronaldo yang beraksi begitu baik dengan larian dan percubaan tepat ke gawang Juventus. Detik dimana penulis berasa amat teruja sewaktu menyaksikan perlawanan itu adalah apabila Cristiano Ronaldo melakukan sepakan gunting hasil hantaran Dani Carvajal yang terus mematikan langkah pertahanan lawan.
Gol tersebut tidak keterlaluan andai penulis katakan antara gol tercantik dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah selain boleh dicalonkan untuk anugerah ‘Puskas’ FIFA. Ronaldo juga muncul pemain pertama yang meledakkan gol dalam 10 perlawanan Liga Juara-Juara Eropah secara berturut-turut.
Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, turut memuji prestasi yang ditunjukkan Ronaldo, namun dia sempat berseloroh mengatakan bahawa jaringan beliau dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah lebih cantik daripada apa yang dilakukan oleh ayam tambatannya.
Penulis percaya biarpun Ronaldo sudah berusia 33 tahun, namun beliau masih mempunyai kudrat seperti pemain muda dan tentunya kelibat beliau akan menjadi tumpuan utama apabila bermulanya Piala Dunia nanti berikutan Portugal berada dalam kumpulan B bersama Sepanyol, Maghribi dan Iran.
Must-Watch Video