RENCANA
Ronaldo: Berangnya tidak bersendirian
Harus tidak akan ada penghujungnya dalam membandingkan Cristiano Ronaldo dengan Lionel Messi. Namun, pantang untuk CR7 mendengar sesiapa mengatakan Leo lebih hebat, apatah lagi daripada pengurusnya sendiri, Zinedine Zidane.
Terbaru, Ronaldo dilaporkan merajuk apabila Zizou memuji Messi selaku pemain yang memberikan perbezaan ketara ketika kemenangan 3-2 Barca ke atas Los Blancos dalam pertembungan El Clasico di Santiago Bernabeu, 23 April lalu.
Akhbar sukan Sepanyol, Diario Gol, memetik Ronaldo tidak langsung teruja dengan komen-komen pengurus berbangsa Perancis itu selepas perlawanan berkenaan.
Iklan
Harus diakui Messi yang lebih menyerlah dalam perlawanan itu dengan menyumbat dua gol, termasuk jaringan kemenangan pada saat-saat akhir untuk barisan Blaugrana memintas lawan di tangga teratas LaLiga di sebalik Madrid berbaki lebih satu perlawanan.
Selepas wisel penamat, Zidane secara terbuka memuji kecemerlangan bintang Argentina itu – menambahkan lagi luka di hati Ronaldo.
“Messi menghadirkan perbezaan di dalam pasukannya,” Zidane dipetik sebagai berkata. “Dia bukan sekadar menyumbat dua gol, malah kami berdepan dengan lawan yang hebat.”
Sebagai perbandingan, Ronaldo mensia-siakan beberapa peluang dalam perlawanan berkenaan hingga mengundang kritikan rakan sepasukan dan penyokong.
Namun, dalam memberi keadilan kepadanya, Ronaldo menenggelami pesaingnya itu dengan golnya yang ke-100 dalam Liga Juara-Juara, hanya untuk Messi bertindak balas dengan menyumbat golnya yang ke-500 buat kelab Catalan itu dalam El Clasico.
Turut dilaporkan Diario Gol bahawa sesetengah rakan sepasukan Ronaldo sendiri percaya Cristiano sudah melepasi zaman kemuncaknya hingga kini memudaratkan pasukan.
Laporan itu mendakwa pemain-pemain Real Madrid berasakan mereka masih mampu memenangi trofi tanpa kehadiran bintang Portugal berusia 32 tahun itu di sebalik 31 gol yang telah disumbangkannya musim ini.
Isco, Luka Modric, Toni Kroos, Alvaro Morata dan Gareth Bale turut dinamakan sebagai pemain-pemain yang tidak gembira dengan Ronaldo.
Malah, Bale dilapor berasakan posisi baru Ronaldo selaku penyerang tengah telah memaksa dia bertolak-ansur dalam permainannya hingga menjejaskan prestasinya sendiri musim ini.
Bayangan Ronaldo mendengus, meneriakkan kemarahan sambil menghayunkan tangannya pada saat Messi menjaringkan gol kemenangan di Santiago Bernabeu, seminggu lalu, barangkali cukup menceritakan perihal seorang pemain yang tidak menyenangi – dan tidak disenangi – yang lain.
Must-Watch Video