RENCANA
Rolland Courbis intai jawatan jurulatih kebangsaan?
Jika sebelum ini beberapa calon jurulatih asing seperti Bojan Hodak, Robert Alberts dan George Boateng lebih bersifat lokaliti kerana hanya ada pencapaian di negara ini, Courbis boleh dikatakan kaya dengan pengalaman antarabangsa.
Marseille, Toulouse, Bordeaux dan Ajaccio merupakan kelab yang pernah dikendalikan dan Courbois yang pada masa kini sedang menguruskan Montpellier HSC sejak 2013 selain pernah membimbing FC Sion dari Switzerland.
Bagi pasukan kebangsaan, dia pernah membimbing Niger yang beraksi di Piala Negara-negara Afrika buat pertama kali pada 2012 namun tewas dalam semua perlawanan.
Iklan
Berdasarkan pengalaman 20 tahun mengendalikan kelab di pentas Eropah termasuk Perancis dan Switzerland, mungkinkah FAM perlu meneiliti hasrat dikemukakan Courbis untuk mengendalikan pasukan Harimau Malaya?
Tambahan Courbis yang mempunyai karakter cukup tegas sebagai jurulatih, mungkin dia mampu tawarkan satu elemen diperlukan kepada pasukan Harimau Malaya iaitu disiplin dalam kalangan pemain negara yang diperkatakan begitu longgar.
Semasa membimbing Niger, dia tidak segan menegur kelemahan pemain yang dikatakan berpunca daripada sikap dan tidak berselindung jika melihat ada sesuatu yang dirasakan tidak betul.
Cuma masalahnya Courbis cukup asing dengan pentas bola sepak Malaysia tambahan dia hanya pernah semusim merantau ke Asia bersama kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al-Wadiah.
Satu lagi, mampukah FAM membayar gaji Courbis yang dikatakan mampu mencecah USD50,000 sebulan (RM215,130) dan takut dikatakan sebagai satu pembaziran jika gagal beri keputusan diberikan.
Senarai pendek bagi jurulatih berkelayakan akan diketahui pada 30 Oktober ini dan akan dipanggil oleh Jawatankuasa Tuga-tugas Khas untuk ditemuduga sepanjang November.
Keputusan akhir siapa yang memegang jurulatih skuad kebangsaan dijangka pada Disember sekali gus bermakna pengendali sementara, Datuk Ong Kim Swee, masih punyai dua tugasan di pentas antarabangsa iaitu bertemu Palestin pada 12 November dan UAE,17 November tanpa sebarang penonton di Shah Alam.
Sekiranya Kim Swee berjaya meraih dua keputusan positif dalam perlawanan ini, adakah adil untuk FAM mengetepikannya sedangkan pemain-pemain mula beri reaksi positif terhadap caranya mengendalikan pasukan?
Must-Watch Video