Skip to main content

Rencana

Rekod Real Madrid, Tuah Juventus

juventus.jpg
Selaku pengikut setia bola sepak Sepanyol, sudah pasti kemaraan Real Madrid ke pentas akhir Liga Juara Juara Eropah buat musim kedua berturut-turut adalah sesuatu yang cukup menggembirakan.

Malah tidak keterlaluan jika saya nyatakan hasrat sebenar yang mahu aura "Hala Madrid" sekali lagi menghangatkan aksi penamat musim ini seperti mana ia berlangsung tahun lalu.

Kelibat Los Blancos di perlawanan akhir berlangsung di Cardiff nanti membawa reputasi selaku juara bertahan, berdepan pasukan gah dari Itali, Juventus. Mengikut perkiraan, anak buah Zinedine Zidane mencari kejuaraan ke-12 pada kemaraan final kali ke-15 di saingan ini. Bayangkan betapa hebatnya Real Madrid yang hanya terlepas 3 peluang untuk menjulang kejuaraan setiap kali melangkah ke final. Secara matematiknya 78%-79% gelaran juara sudah berada di dalam genggaman Real Madrid sebelum sepak mula.

Namun apakah peluang Real Madrid untuk menundukkan Juventus sebegini cerah dan mudah sekali? Ini antara fakta menarik yang mungkin menjentik perasaan gusar dalam kalangan penyokong setia pasukan yang ditunjangi Cristiano Ronaldo ini.


Gianluigi Buffon

Tidak perlu rasanya saya perjelaskan lagi tentang kehebatan penjaga gol kebangsaan Itali berusia 39 tahun yang merekod kos perpindahan tertinggi pada 2001 ini. Kesetiaannya bersama Juventus kekal ke hari ini, malah prestasi semasanya tidak sedikit pun meragukan dengan musim ini antara persembahan terbaiknya di Liga Juara Juara Eropah. Buffon berjaya memastikan pasukan tidak dibolosi dalam 8 aksi dan walaupun rekod bersih itu akhirnya dirobek Kylian Mbappe, ia kekal rekod paling panjang pernah dicatatkan mana-mana penjaga gol setakat ini. Tidak mustahil, kekecewaan Buffon itu akan disalurkan pada aksi terakhir kempen menentang Real. Jika berhasil, Buffon yang merupakan pemain paling senior beraksi di final Liga Juara Juara Eropah, juga akan menjadi pemain tertua yang menjulang kejuaraan ini. Motivasi lain? Buffon masih belum pernah meraikan kejayaan di peringkat ini bersama Juventus.

Badi Real Madrid

Benar Los Blancos merupakan pasukan paling banyak menjulang kejuaraan di Liga Juara Juara Eropah. Kali pertama kejuaraan diraih adalah pada 1956 di mana ia menjadi fenomena yang berlanjutan sehingga menginjak era 60-an, sebelum ia diambil alih oleh pasukan dari  Portugal, Benfica. Bagaimanapun hanya itu kejayaan berturut-turut yang pernah direkodkan Real Madrid. Penjenamaan semula kejohanan ini pada 1992, menyaksikan gergasi Sepanyol ini kembali menjulang kejuaraan pada 1998 dan hanya berjaya memastikan trofi berprestij ini tidak pergi jauh terlalu lama dengan kemenangan pada tahun 2000 dan 2002. Jika mahu mengulangi pencapaian terbaik ini pun, 2017 bukanlah tahun yang memihak Real selepas kejayaan pada 2014 dan 2016.


 7x3=21

Ada beberapa teori menarik yang boleh dikaitkan dengan langkah kanan Juventus pada kempen kali ini, malah penantian selama 21 tahun dijangka akan tamat pada 2017. Semuanya kerana tuah pasukan Itali yang di sandang anak buah Massimiliano Allegri. Mengikut pemerhatian penganalisis bola sepak antarabangsa, setiap 7 tahun pasti akan ada sekurang-kurangnya satu pasukan dari Itali yang akan merebut kejuaraan di pentas Liga Juara Juara Eropah. Selain Juventus yang menang pada tahun 1985 dan 1996, pasukan lain yang turut menyumbang kejayaan adalah AC Milan dan Inter Milan. Sejak termaktubnya AC Milan selaku juara edisi 1989, aura luar biasa pasukan Itali yang kononnya hadir setiap 7 tahun beralih kepada Juventus, malah juara 32 kali Serie A ini hampir mengulangi kejayaan sama pada 2003, namun tewas juga kepada AC Milan, pasukan senegara yang paling menyerlah di saingan ini dengan 7 kejuaraan. Kesinambungan itu diteruskan Inter Milan pada 2010. Ironinya, pentas akhir Liga Juara Juara 2017 juga punya wakil dari Itali. Mungkinkah kejuaraan ketiga dapat diraih Juventus musim ini dengan menggunakan tuah 7 tadi?

Apa pun teori dan ramalan tidak menjanjikan apa-apa walaupun ianya berlandaskan rekod dan prestasi terdahulu. Bagaimanapun ia cukup untuk menghangatkan lagi debaran menjelang aksi final Liga Juara Juara Eropah yang bakal berlangsung awal Jun nanti.

Advertisement

Must Watch Video