Skip to main content

Rencana

Red Warriors kembali berdiri, Sathia makan hati, sedangkan Ed Woodward pun makan maki

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

norizam-tukiman-kelantan.jpg

Sambil saya duduk di kerusi malas saya yang empuk tatkala mengarang nukilan ini, saya renung ke secawan kopi di sisi saya sambil terfikir: Half glass full, or half glass empty?

Begitulah saya rasakan penerimaan terhadap pendekatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam mewajibkan setiap Persatuan Bola Sepak Negeri (FA) menjadi kelab bola sepak (FC). Langkah yang mula diperkatakan sejak tahun 2008 ini, bukan saja menyahut saranan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), tetapi ia turut menggalakkan pembabitan tokoh usahawan tempatan membuat pelaburan dalam bola sepak tempatan.

Advertisement

Bagi mereka yang pesimis, atau mungkin masih mahu berpaut kepada kegemilangan dan kuasa masa silam, akan melihat perkembangan ini sebagai suatu azimat yang terlepas dari genggaman. Kalau ikut pengamatan dan pengalaman saya, pasti akan ada dengusan tidak puas hati, atau pelbagai alasan dengan langkah terbaru FAM ini, menatijahkan persepsi half glass empty mereka ini.

Saya memilih untuk melihat half glass full.

 

 

Ya, sudah pasti ada masalah dan kelemahan di awal perlaksanaan inisiatif ini. Tapi lihat positifnya — kini, peluang lebih terbuka kepada mana-mana usahawan tempatan untuk memiliki pasukan dalam Liga Malaysia. Biarpun seperti yang diketahui umum, Malaysia adalah antara negara yang terakhir dalam melaksanakan perkara ini dalam bola sepak, saya masih teruja dengan perkembangan ini.

Ini bukan tentang bila kita start the race, guys. It's how you end the race.

Biarpun perkara ini baik, tetapi tidak semudah ABC. Saya sedih bila mendengar perkhabaran yang Felda United tidak lagi akan bersaing dalam bola sepak Malaysia setelah pengurusannya diambil alih. Apa nasib rakan-rakan pemain dan jurlatih serta staf-staf yang sedaya upaya mahu membawa pasukan ini sebagai pesaing utama dalam kancah bola sepak Malaysia? Pasukan ini ada stadium sendiri! Stadium sendiri! Tetapi kini, apa yang akan jadi seterusnya? Sayang stadium gah, cantik, tapi jika ini berlaku, apa pengakhirannya?

Betul lah apa yang orang cakap, football is not for the faint of heart.

 

 

Jadi, bila usahawan kelahiran Johor, Norizam Tukiman mengambil alih pengurusan skuad Kelantan selepas melabur RM 6.8 juta untuk memiliki saham TRW Sendirian Berhad, syarikat yang mengendalikan pasukan itu sebelum ini, sebagai pemain, sudah pasti saya gembira dengan adanya seorang usahawan seperti Norizam. Ini menjadi titik permulaan untuk membuktikan yang sukan bola sepak di negara ini ada estetik tersendiri untuk memikat pelabur-pelabur yang berminat di luar sana.

Secara jujur, pada mulanya ketika mendapat tahu mengenai perkhabaran Norizam ingin membeli skuad Kelantan, saya berasa risau. Seperti mana-mana ahli perniagaan yang mengambil risiko, Norizam tampak seakan melakukan perjudian besar mengambil alih sebuah pasukan yang sebelum ini kerap dikaitkan dengan masalah hutang dan gaji tertunggak pemain serta pegawai pasukan.

Risau kerana teringat peristiwa yang membabitkan seorang bekas presiden sebuah pasukan negeri yang kononnya diuar-uarkan sebagai nafas baru dalam kehangatan bola sepak tempatan. Nama-nama besar dibawa masuk, dan dijanjikan bulan dan bintang kepada semua pemain. Namun selepas dua bulan Liga-M berlangsung,bukan saja gaji pemain dan jurulatih tak terbaya, malah bayaran lain seperti sewa padang dan bas juga gagal dilunaskan.

"Awak semua sabar, kita boleh pergi jauh dengan team ni. Duit tajaan akan masuk tak lama lagi, bila duit tajaan masuk, bank pun akan bagi bonus kat kamu semua," itulah kenyataan beliau yang membuatkan semua orang, terutamanya pemain, menggaru kepala, dan mula mempertikaikan kewarasan di sebalik kenyataan tersebut.

Akhirnya, apa yang jadi? Pasukan jadi mangsa, setelah melakar sejarah sebagai pasukan negeri pertama dibatalkan penyertaan dalam Liga-M dan juga pasukan pertama yang tidak menamatkan saingan dalam satu musim sejak era Liga Semi-Pro.

Bak ayat favorite saya dalam filem Ali Setan — Hang kata hang tera, pirahhh!

Setakat pemerhatian saya sehingga kini, Norizam jelas tidak seperti bekas presiden persatuan itu kerana setakat ini dia sudah pun berjaya melunaskan tanggungjawab paling besar dalam menguruskan sebuah pasukan — isu gaji bekas pemain-pemain Kelantan yang kian lama tertunggak telah pun diselesaikan, dan malah, turut mempunyai perancangan buat pasukan itu.

Saya sempat menyaksikan perbualan beliau bersama Hafizal Hamad dan Asmawi Bakiri dalam program Bola@Mamak beberapa minggu lalu. Beliau menyatakan yang keutamaan beliau adalah memastikan prasarana yang lengkap buat Kelantan, dan bukan warna stadium yang baru. Nah, bukankah ini satu corak pemikiran progresif yang sangat diperlukan dalam membina budaya bola sepak baharu di negara ini?

Stadium warna pink ke, unggu ke, kalau team power, still boleh orang datang kasi penuh, bos.

Kembalinya Kelantan ke Liga Super sudah pasti suatu yang dinanti-nantikan oleh seluruh peminat The Red Warriors. Tidak mustahil, dengan pengurusan yang baik serta sentiasa menjaga kebajikan pemain, misi ini akan terlaksana suatu hari nanti.

Hakikatnya, untuk mengurus sebuah pasukan ini bukannya sesuatu yang boleh dilakukan oleh semua orang. Kalau kita lihat perkembangan bola sepak Eropah, pengurusan memiliki tugas yang berat dalam menangani setiap aspek dalam kelancaran jentera sesebuah kelab itu. Makian dan cacian peminat itu lumrah. Saya yakin, sekiranya Ketua Eksekutif Manchester United, Ed Woodward, secara figuratif, membawa bakul untuk mengisi cercaan ke tempat kerja, setiap hari berbakul-bakul maki yang dibawanya pulang ke rumah.

Bukan itu sahaja, man-management adalah suatu perkara yang saya rasakan perkara paling penting dan sukar dalam pengurusan sesuatu kelab. Jasmani, sudah pasti. Apatah lagi, rohani seseorang ahli pasukan itu. Tambahan pula, sekiranya seseorang itu bintang paling besar dalam pasukan. Lihat sahaja bagaimana disebabkan Lionel Messi, presiden kelab gergasi Sepanyol, Barcelona, Josep Maria Bartomeu kini berdepan undi tidak percaya terhadap kepimpinan beliau dalam kelab tersebut.

Jadi ketua bukan setakat duduk kerusi empuk, pusing-pusing, main telefon, buat PC & meeting saja. Kalau senang macam tu, monyet pun boleh jadi ketua!

Bila saya lihat nasib yang menimpa bekas jurulatih Selangor, B Sathianathan, satu sahaja perkara yang bermain di fikiran saya — di mana sokongan daripada pihak pengurusan?

Peminat, khususnya peminat Selangor mungkin kurang bersetuju dengan saya, tetapi percayalah jika saya katakan Sathia sebenarnya seorang jurulatih yang bagus dan pandangan saya adalah berlandaskan pengalaman bermain di bawah kendaliannya satu ketika dulu. Dia mempunyai etika kerja yang bagus, tegas ketika latihan serta perlawanan dan seorang jurulatih yang cukup berpengalaman.

Jika tidak, masakan dia  berjaya membawa Kelantan masa 2009-2010 untuk mendominasi bola sepak Malaysia. Malah, ketika mereka menjuarai kejuaraan treble 2012 di bawah Bojan Hodak, asas pasukan itu turut dibentuk Sathia.

Sathia, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Ya ketika mengendalikan pasukan The Red Warriors, adalah seorang personaliti yang sangat penting dalam karier ramai pemain. Beliau mungkin kurang bernasib baik ketika menjadi teraju dalam skuad senior negara suatu ketika dahulu, tetapi itu tidak bermakna beliau bukan seorang jurulatih yang baik. Ramai tidak sedar, beberapa pemain tonggak negara dalam skuad yang muncul juara Piala Suzuki AFF 2010 mendapat pendedahan awal bersama skuad senior negara ketika Sathia menjadi jurulatih.

How's your wife? Your kids?” adalah antara pertanyaan sinonim Sathia kepada saya sebaik tamat latihan. Selain bola sepak, dia sentiasa mengambil berat terhadap pemain-pemainnya.

My family is doing ok, coach. I hope you are, too.

 

 

Jadi persoalannya; mengapa di Kelantan dia berjaya tetapi tidak di Selangor? Pandangan saya, mudah. Sokongan daripada pihak pengurusan.

Ketika di Kelantan, beliau diberi kepercayaan sepenuhnya oleh pengurusan untuk membentuk sebuah skuad yang berkaliber, mengikut acuan dan falsafah beliau sendiri. Hasilnya, kejayaan demi kejayaan dikecapi. Namun di Selangor, saya berasakan yang Sathia tidak mendapat sokongan pucuk pimpinan FAS. Jika tidak, takkan saya sudah berbulan mendengar daripada kenalan di skuad Selangor yang pihak pengurusan tidak akan melanjutkan kontraknya selepas saingan musim ini dan sudah pun menyenarai pendek beberapa calon jurulatih antaranya bekas pemain Jerman, Guido Buchwald.

Sekiranya dilihat menerusi fakta, Selangor menunjukkan prestasi baik dalam aksi persahabatan sebelum saingan Liga Super bermula semula bulan lalu, selepas hampir lima bulan terhenti kerana pendemik COVID-19. Tetapi sebaik liga bersambung,desas-desus mengenai masa depan Sathia semakin kuat kedengaran dan prestasi pasukan mula merudum.

Saya tidak nafikan yang pihak pengurusan berhak mengambil keputusan drastik dalam menentukan masa depan seseorang jurulatih, apatah lagi dengan prestasi merudum dan juga selepas kekalahan besar 6-1 kepada Johor Darul Takzim (JDT). Dan ya, sebagai seorang profesional, mereka harus terima sebarang keputusan pihak pengurusan. Tetapi saya juga dengar desas desus mengenai kelibat seorang exco FAS yang sibuk memaklumkan pemain, siapa yang kekal dan siapa yang tidak akan dilanjutkan kontrak musim depan.

Pengurusan Selangor sudah pun memulakan usaha mendapatkan khidmat pemain baru untuk musim depan sebelum pemecatan Sathia dan tanpa penglibatan beliau dalam perbincangan. Sudah pasti pemain dalam pasukan tahu mengenai perkara ini dan mereka harus memendam rasa?

Sifir dia mudah sahaja: coach yang bawak player masuk team nak kena buang + exco bagitau kontrak tak sambung musim depan = main ala kadar cukuplah (nanti injured, takde team lain nak pulak)

Kalau tanya saya, baik beri Sathia abiskan kontrak dia daripada memecatnya. Benar, kedudukan Sathia ibarat retak menanti belah, tambahan pula dengan sebahagian besar peminat Selangor juga tidak menggemarinya. Tetapi bukankah lebih baik sekiranya kepercayaan itu diberi tanpa ada sebarang keraguan terhadap keupayaan beliau dalam membentuk sebuah pasukan? Perlukah ada perasaan was-was, sekiranya keyakinan itu jitu?

Kini pengarah teknikal FAS, Micheal Feichtenbeiner memangku tugas ketua jurulatih dalam menempuh hari-hari terakhir musim ini, dan untuk sekurang-kurangnya menyelamatkan maruah pasukan Selangor dari terjerumus ke tempat yang tidak diingini. Saya yakin, pemain-pemain pasukan Selangor tidak mahu mengecewakan peminat-peminat sejati pasukan Merah Kuning yang mendambakan kegemilangan kembali ke bumi Darul Ehsan.

Namun buat pengurusan, bukan sahaja yakin, harapan juga adalah perkataan-perkataan yang patut dibingkaikan di pejabat anda semua!

 

Masih aktif dalam bola sepak, Talisman Asrar berpengalaman di peringkat liga dan antarabangsa, dan kadangkala mempunyai peranan besar sebagai pengkritik kerusi malas.

Must Watch Video