Skip to main content

Advertisement

Rencana

Real Madrid tanpa Ronaldo (bhg 1)

ronaldo-cover.jpg
Tempoh sembilan tahun Cristiano Ronaldo di Santiago Bernabeu akhirnya tamat selepas bintang Portugal itu bersetuju untuk ke Juventus menerusi yuran perpindahan sekitar RM529 juta. Namun, siapa yang mampu menggantikan tempatnya dalam skuad Real Madrid?

Presiden Real, Florentino Perez, menganggap tahun 2018 merupakan detik terbaik untuk memulakan semula proses pembentukan Galacticos di Bernabeu. 

Jika pada 2009 Los Blancos telah membawa masuk nama-nama besar seperti Ronaldo, Kaka, Xabi Alonso dan Karim Benzema, kini "diktator" bola sepak itu mula memikirkan kelibat bintang baru.



Penghijrahan Ronaldo ke Itali semestinya akan meninggalkan impak kepada Real walaupun pemenang Euro 2016 itu sudah menjangkau usia 33 tahun. 

Tidak kira sejauh mana kehebatan Perez dalam jendela perpindahan, dia harus mengakui bahawa mencari pengganti Ronaldo bukan satu tugas yang mudah.

Lebih berat, Real juga berdepan risiko kehilangan khidmat Benzema selepas pengendali Napoli yang juga bekas pengurus Los Blancos, Carlo Ancelotti, dilaporkan berminat untuk membawanya ke Itali.

Justeru, timbul beberapa nama yang mungkin wajar atau layak untuk dikejar Perez bagi mengelakkan masalah besar menimpa juara Eropah itu. Siapa calon-calonnya?



Harry Kane merupakan antara nama yang dikatakan berada dalam senarai dikehendaki Perez. Kemampuan Kane secara konsisten mengutip lebih 20 jaringan dalam beberapa musim terakhir menjadikan dirinya sebagai satu naik taraf yang sempurna bagi menggantikan Benzema. 

Pada usia 24 tahun, Kane mungkin sudah boleh mula mencongak masa depannya bersama pasukan yang lebih besar jika mengambil kira kegagalan Tottenham Hotspur mendapatkan trofi dan terlalu bergantung kepada kudratnya setiap musim. Namun, masih wujud kekangan buat Real untuk mendapatkannya.

Walaupun Real dijangka tidak akan berdepan apa-apa masalah untuk mengeluarkan sejumlah dana yang besar bagi mendapatkan Kane, namun terdapat beberapa faktor yang mungkin perlu diambil kira sebelum membuat keputusan.



Paling ketara, kebanyakan pemain England tidak begitu menyinar apabila berhijrah ke bumi Sepanyol. Sesetengah daripada mereka mampu menjulang trofi tetapi tetap gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan seperti sewaktu bersama kelab terdahulu. Contoh termudah, lihat sahaja apa yang berlaku kepada David Beckham dan Michael Owen. 

Ya, Steve McManaman menikmati musim pertamanya sejak tiba di Bernabeu pada 1999 apabila menjadi pemain terbaik perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 1999/2000.  Namun, dalam masa sama, pencapaian Jonathan Woodgate bersama Real juga harus dinilai semula sebelum Perez membuat keputusan membawa masuk pemain dari England.

Bahaya atau tidak, hanya Perez yang tahu menilai sejauh mana kesanggupan dirinya untuk berdepan risiko apabila membawa Kane ke Bernabeu. 

(Bersambung)
 

Advertisement

Must Watch Video