Skip to main content

Advertisement

Rencana

Rami Andu Mayan Pandelela

pandelela_1.jpg
Pandelela Rinong sudah berusia 26 tahun.

Lebih sedekad mengikuti perjalanan karier ratu terjun negara hingga meraih pingat Sukan Olimpik, ia satu pengalaman hebat. Saya mengenalinya ketika mula-mula datang ke Bukit Jalil sebagai penerjun pelapis kebangsaan, di belakang senior seperti Elizabeth Jimie dan Leong Mun Yee.

Pada mulanya penerjun kelahiran Bau, Sarawak, ini sukar didekati kerana pemalu -- sikap tipikal atlet muda Malaysia. Namun, lama-kelamaan sikap periang Pandelela terserlah terutama ketika mendengar lagu K-Pop.

Dia hafal banyak tarian kumpulan K-Pop dan kerap kali saya melihat dia serasi menari bersama Nur Dhabitah Sabri, Traisy Ng dan Ahmad Amsyar Azman, mereka peminat K-Pop sejati.

Beberapa hari lalu, kami berhubung menerusi aplikasi 'whatsapp' apabila dia masih lagi belum menandatangani kontrak Majlis Sukan Negara (MSN).

"Ini perkara peribadi. Sukar untuk saya kongsikan," kata Pandelela yang kini sedang mencabar Kejohanan Terjun Siri Dunia di Jepun. Saya menghormati keputusan Pandelela walaupun MSN hanya menunggu keputusan dia dan Dhabitah untuk menyertai 501 atlet yang sudah menandatangani kontrak termasuk jaguh trek, Azizulhasni Awang.

Atlet sudah belajar daripada beberapa isu kontrak lalu dan apa yang menarik, pengurus Pandelela sedang menguruskan isu ini. Baguslah, atlet makin peka mengenai keperluan dan hak mereka. Cuma jangan tunggu lama-lama ya.

Daripada remaja pemalu kepada pemenang pingat Olimpik hingga memiliki pasukan pengurusan sendiri. Itulah evolusi Pandelela. Saya akan terus memantau perkembangan Pandelela untuk memastikan dia kekal di landasan tepat untuk meraih pingat emas Olimpik Tokyo.

Selamat hari lahir atau dalam bahasa Bidayuh, Rami Andu Mayan Pandelela!



 

Advertisement

Must Watch Video