Skip to main content

Rencana

Rafiq Ismail…..Legenda dalam pembikinan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

img_4994.jpg
Ini merupakan kali ketiga penulis berpeluang membuat liputan mengenai Sukan SEA selepas Myanmar 2013 dan Singapura 2015.

Berbanding dua edisi lalu, penulis berpeluang melakukan liputan kali pertama beberapa jenis sukan termasuk bowling, kriket, polo air dan hoki ais.

Dalam semua sukan itu, bowling pasti menjadi kenangan paling indah buat penulis selepas membolot tujuh pingat emas daripada sebelas yang dipertandingkan, mengulangi pencapaian di Sukan Sea Kuala Lumpur 2001.

Dua individu, Rafiq Ismail dan Shalin Zulkfli, akan dikenang sebagai raja serta ratu bowling negara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas masing-masing meraih tiga emas tanpa melupakan Sin Li Jane yang turut meraih jumlah pungutan pingat yang sama.

Cuma sedikit simpati kepada dua atlet lelaki negara, Timmy Tan dan Ahmed Muaz Fishol, yang menamatkan cabaran dengan tangan kosong ketika rakan-rakan lain bergembira.

Kegagalan dalam acara lima berpasukan lelaki memberi kesan besar kepada mereka berdua yang sebelum itu turut gagal menyerlah dalam perseorangan, berpasangan dan trio serta masters.

Namun, dalam semua atlet negara, nama Rafiq bagaikan berlian yang semakin bersinar selepas mengumpul emas keenamnya sepanjang Sukan SEA ketika umurnya baharu mencecah umur 20 tahun.

Nyata, betapa banyak yang dia masih mampu tawarkan kepada masa depan bowling negara dan jika dia mampu mengekalkan disiplin serta menjaga prestasinya, Rafiq mampu mengikut jejak langkah Shalin selaku legenda bowling di masa akan datang.

Penulis nyata kagum dengan perwatakan yang ada pada Rafiq kerana selain merendah diri dan tidak meletakkan diri seolah-olah bintang tiap kali berurusan dengan media, pemain ini ada karakter tersendiri sebagai seorang juara.

Ketika buat liputan, penulis juga ada curi-curi dengar wartawan dari negara jiran cukup gerun dengan kelibat pemain kidal ini malah mereka umpama kagum dalam diam terhadap kredibiliti yang ada pada Rafiq.

Setiap kali turun beraksi, penulis sentiasa memerhatikan perwatakan Rafiq yang dilabel mempunyai kekuatan mental luar biasa setiap kali berada dalam tekanan, satu ciri-ciri yang jarang ada pada kebanyakan atlet negara.

Ternyata jurulatih, Holloway Cheah, berjaya membentuk anak muda berusia 20 tahun ini sebagai pemain yang menakjubkan selain bakat semulajadi  pada Rafiq yang menjadikannya sebagai bintang yang cukup sempurna



Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.
 

Advertisement

Must Watch Video