Skip to main content

Rencana

Pulanglah Nicol

sharon-wee-and-nicol-david.jpg

Masih segar dalam ingatan, Amsterdam, Belanda dijadikan pangkalan latihan saya sebagai pemain nombor 1 wanita negara tahun 2002 bersama Liz Irving.

Seorang atlet muda wanita dari Pulau Pinang bernama Nicol David yang semakin meningkat naik menyertai saya sebagai rakan sepelatih di Squash City setahun kemudian.

Perasaan lega dan tidaklah begitu sunyi kerana jauh dari kampung halaman sementara itu turut sibuk sebagai seorang pemain,rakan sepasukan, kapten dan kakak kepada 
pembikinan seorang legenda skuasy dunia.

Selepas 14 tahun, saya masih ingat hari-hari di mana kami berdua meletakkan impian di diari untuk menjadi pemain terbaik di dunia dan bagaimana kami berdua menyokong dan berada di samping masing-masing pada saat-saat sukar. 

Tiada siapa yang tahu pahit manis seorang atlet yang akan melakukan segala-galanya untuk sukan dan negara tercinta.

Dua tahun serumah bersama Nicol, Antwerp, Belgium pula menjadi destinasi saya untuk menggapai impian di dunia elit skuasy sehingga 2010 dengan  pencapaian terbaik 18 di dunia.

Nicol pula terus mendominasi sirkit skuasy dengan 8 kejuaraan dunia dan sebagai pemain nombor 1 dunia lebih dari 9 tahun.

Namun September 2015 merupakan titik permulaan Si Duracell Bunny meragui dengan kebolehan sendiri.

Ranking teratas dunia itu dirampas oleh pemain Mesir, Raneem El Welily.

Kekecewaan untuk menggondol kejuaraan dunia di kampung sendiri di Pulau Pinang tahun 2014 dan sekali lagi di Kuala Lumpur tahun ini,  sedikit sebanyak meranapkan keyakinan dan kepercayaan diri yang telah dibina sejak dia berusia 7 tahun.

Tiada kejuaraan tahun ini dan tumpas kepada pemain kurang pilihan sehingga mengejutkan peminat Nicol di Malaysia mahupun di seluruh dunia.

Sebagai rakan baik yang melihat model sukan negara ini mencipta sejarah sejak 26 tahun dahulu, sudah tiba masanya dia mendapat inspirasi dan motivasi bukan sahaja sebagai seorang atlet tetapi kembali sebagai seorang wanita dan seorang manusia yang bangga dengan diri sendiri dan bersemangat semula untuk menempuhi kehidupan.

Kini, tanggung-jawab rakyat Malaysia bukan sahaja memikirkan kemenangan dalam sukan skuasy daripada Nicol, tetapi bagaimana kita dapat menyokong ikon istimewa ini untuk meneruskan kehidupan sebagai manusia biasa.

Malaysia di mana segala-galanya bermula untuk Nicol, saya percaya Malaysia juga merupakan tempat terbaik dia kembali untuk mendapatkan inspirasi semula.

Pulanglah Nicol... Pulang ke Malaysia.

Advertisement

Must Watch Video