RENCANA
Pujian itu perangkap!
Dihambur pujian daripada pelbagai pihak selepas prestasi memberangsangkan yang dipamer sewaktu siri Jelajah di China, skuad bawah 22 tahun (B-22) negara diingatkan agar tidak mudah dialpakan dek pujian.
Pesanan itu hadir daripada pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee, yang mengharapkan agar anak-anak buahnya kekal fokus dan memberikan komitmen 100 peratus kerana misi menggapai emas dalam Sukan SEA masih belum tercapai.
Namun, pujian yang hadir ada relevannya. Masakan tidak.
Iklan
Kredit imej: Football Associaton of Malaysia Official
Sewaktu dibimbing Frank Bernhardt, skuad B-22 negara atau Skuad Projek Sukan SEA kurang mendapat perhatian media kerana kurangnya masa bersama rakan sepasukan selain prestasi yang tidak dapat dinilai kerana kekurangan perlawanan kompetitif.
Tetapi di bawah bimbingan Datuk OKS, segala-galanya nampak semakin positif dan peminat sudah mula menaruh harapan mahu melihat kejayaan dikalungkan ibu segala pingat bakal berulang selepas kali terakhir muncul juara dalam Sukan SEA 2011.
Bulan hadapan, skuad Datuk OKS akan ke Bangkok untuk saingan Piala AFC Bawah 23 Tahun yang boleh dijadikan persiapan terakhir sebelum bermulanya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur.
Dengan beberapa pemain utama berada dalam kondisi terbaik dan isu disiplin Ariff Farhan telah pun diselesaikan, diharapkan konsistensi yang dipamerkan pemain-pemain muda negara berterusan di bawah bimbingan Datuk OKS dan impian seluruh peminat bola sepak negara yang dahagakan kejayaan akan sedikit terubat.
Must-Watch Video