Skip to main content

Advertisement

Rencana

PSAS ujian formasi baharu 3-2-3-2

28218hokimalaysia.jpg
Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) boleh dijadikan medan ujian terbaik buat skuad negara menguji formasi dan taktikal baharu bagi menghadapi pentas sebenar, FIH Siri Akhir Lelaki Dunia 2019 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bulan depan.

Saya melihat ketua jurulatih, Roelant Oltmans berani membuat eksperimen dengan membawa masuk beberapa pemain yang tiada kaps antarabangsa di peringkat senior.

Mereka ialah Muhammad Zaimi Mat Deris dan Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran serta dua pemain muda berusia 19 dan 20 tahun iaitu Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan Muhammad Arif Syafie.

Bagi saya, pemilihan pemain-pemain ini bagi menggantikan beberapa tonggak senior yang mengalami kecederaan seperti penjaga gol No. 1, S. Kumar, kapten, Mohamad Sukri Abdul Mutalib dan pertahanan, Syed Syafiq Syed Cholan adalah satu pendedahan yang bagus buat mereka.

PSAS juga boleh menjadi medan buat Oltmans dan barisan kejurulatihannya serta para pemain cuba menyesuaikan diri dengan formasi baharu 3-2-3-2 berbanding taktikal 4-3-3 yang telah digunapakai sejak dahulu oleh skuad negara.

Saya akui formasi baharu ini dalam beberapa perlawanan awal pastinya memperlihatkan kepincangan tetapi apa yang penting ialah peningkatan prestasi dapat diperlihatkan dalam setiap perlawanan.

Perlawanan pertama formasi baharu 3-2-3-2 ini menyaksikan skuad negara kalah teruk 0-6 kepada Korea Selatan.

Bagi saya, kita sebagai peminat hoki tidak perlu melatah terlalu awal, sebaliknya beri ruang dan masa kepada skuad negara menyesuaikan diri dengan memperlihatkan peningkatan prestasi dalam setiap perlawanan.

Barisan kejurulatihan dan pemain pastinya sudah membuat analisis video supaya setiap kesilapan dapat dikurangkan.

Selain itu, saya juga ingin melihat hasil latihan para pemain 'berguru' dengan bekas flicker No. 1 dunia dari Belanda, Taeke Taekema selama seminggu di Kuantan, Pahang minggu lalu pada saingan PSAS selepas ini.

Jika kita dapat menjaringkan banyak gol menerusi pukulan sudut penalti dan keserasian antara pemain menggunakan formasi 3-2-3-2 pada PSAS, saya percaya skuad negara pasti tidak akan berdepan masalah apabila menghadapi FIH Siri Akhir Lelaki Dunia bulan depan.

Advertisement

Must Watch Video