Skip to main content

Rencana

Potong gaji pemain, korban Piala Malaysia pilihan terbaik?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

trofi-piala-malaysia.jpg
Pengumuman kerajaan berhubung tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April depan bukan berita menggembirakan buat warga bola sepak tanah air terutama pemain, jurulatih dan pengurusan bagi semua pasukan Liga Malaysia.

Ini kerana keputusan itu turut mempengaruhi perjalanan baki saingan liga yang mana ia menyebabkan lanjutan perlawanan-perlawanan liga yang telah pun ditangguhkan berkuat kuasa bermula 16 Mac lalu susulan kebimbangan penularan wabak COVID-19.

Setakat ini, Malaysia Football League MFL selaku badan pentadbir Liga Malaysia belum menetapkan tarikh baru liga yang akan disambung semula sebaliknya menyatakan ia bakal dilanjutkan lagi penangguhannya untuk satu tempoh yang lebih lama.

Berdasarkan penjelasan itu, penulis berasakan tiada perlawanan dapat diadakan sepanjang bulan April yang membabitkan lima perlawanan liga ketika ia juga mungkin ditangguhkan sehingga Jun depan ekoran keadaan tidak menentu ketika ini.

Penangguhan liga sememangnya memberi impak besar kepada beberapa pasukan yang bertanding apabila kewangan mereka ketika ini agak terjejas tanpa hasil kutipan tiket kerana tiada perlawanan dapat dilangsungkan.

Situasi itu sudah pasti memberi kesukaran kepada pasukan terbabit untuk melunaskan pembayaran gaji pemain walaupun sebenarnya hasil kutipan tiket perlawanan tidak wajar dijadikan sebagai sumber utama pendapatan bagi tujuan berkenaan.

Dalam hal ini, pemain juga mungkin tiada pilihan selain terpaksa berkorban untuk merelakan pemotongan gaji agar situasi menang-menang dapat dicapai antara kedua-dua pihak walaupun ia dilihat tidak wajar kerana keadaan berlaku di luar jangkaan.

Seperti saranan Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM agar semua pasukan mengadakan perbincangan terbuka dengan pemain bagi menangani masalah ini, penulis juga berpendapat mekanisme terbaik perlu ditawarkan kepada pemain.

Ia membabitkan jumlah peratusan pemotongan gaji supaya pemain yang menerima pendapatan rendah tidak terkesan dengan tindakan berkenaan. Pemain yang menerima gaji tinggi juga perlu dipastikan menerima faedah yang setimpal. Seperti yang pernah dikatakan pemain import Terengganu, Lee Tuck, mereka bukan jutawan berbanding pemain bola sepak di luar negara seperti Neymar mahu pun Lionel Messi.

Selain isu pemotongan gaji, penangguhan liga juga menyebabkan MFL dan FAM 'pening kepala' dalam menetapkan pertandingan musim ini bagi mengelak kepadatan jadual di akhir musim ketika skuad Harimau Malaya mempunyai tugasan penting di pentas antarabangsa.

Untuk tujuan berkenaan, penulis secara peribadi berasakan Piala Malaysia akan dikorbankan MFL berbanding Piala FA berdasarkan kapasiti Piala FA yang menawarkan slot ke kejohanan di peringkat Asia sekali gus mengenepikan Piala Malaysia yang sekadar mempunyai prestij.

Apa pun keputusannya, penulis berharap ia adalah demi kebaikan bersama dan bola sepak negara!

Advertisement

Must Watch Video