Skip to main content

Rencana

Pogba: Tidak segalanya indah buatnya

paul-pogba-160817.jpg
Paul Pogba nyata tidak gembira dengan masalah posisinya di Manchester United hingga dia dikatakan menyesali kepulangannya ke Old Trafford.

Tonggak antarabangsa Perancis itu dilaporkan lebih berminat kepada peranan menyerang di sebelah kiri dalam trio bahagian tengah United tapi kerap dikecewakan oleh tugas tambahan untuk bertahan di samping kelab itu ada kalanya memilih formasi hanya dua pemain tengah.

Akhbar Perancis, L’Equipe, mendakwa bahawa Pogba "menyesali kepulangannya ke Manchester United" gara-gara permasalahan posisi idamannya di bawah pengendalian Jose Mourinho.

Bintang bernilai £89 juta (RM490 juta) itu sudah dua kali digantikan oleh pengurusnya sejak minggu-minggu terakhir ini dalam kekalahan kepada Spurs dan Newcastle.

Mourinho, menurut satu rencana dalam Daily Record, tidak begitu tertarik dengan sumbangan Pogba sejak kelab itu menandatangani Alexis Sanchez daripada Arsenal.

Bekas bos Chelsea itu berasakan Pogba seharusnya mendominasi perlawanan dalam peranan pemain tengah, baik ketika menyerang mahupun bertahan, seperti apa yang pernah dilakukan Steven Gerrard di Liverpool dan bukan hanya dengan menikmati kebebasan untuk menyerang.

Stail ranggi dan tidak peduli Pogba difahamkan tidak disenangi pengurus berbangsa Portugis itu yang kaedah pilihannya ialah memiliki pemain berpengalaman yang melaksanakan tugas-tugas khusus di atas padang.

Mourinho menarik keluar Pogba dengan serta-merta selepas pemain tengah itu gagal mencabar satu sepakan percuma Matt Ritchie yang menghasilkan gol tunggal kemenangan Newcastle pada minit ke-65 perlawanan pada 11 Februari lalu.

“Saya masih ingat dengan jelas seorang pemain Newcastle melompat dan dua daripada pemain saya sekadar melihat dan tidak melakukan apa-apa,” kata pengurus United itu.

Malah, Mourinho juga tidak kelihatan berminat untuk membenarkan Pogba dengan hanya satu tugas khusus di bahagian tengah, sebaliknya menuntutnya dengan peranan serba boleh tanpa mengira sama ada dia dibantu seorang, dua atau tiga rakan gandingan.

“Bagi saya, ia adalah mudah,” tegas Mourinho. “Paul adalah seorang pemain tengah. Dia bukannya bek kiri dan bukannya seorang penyerang. Jadi, apabila orang bertanya apakah posisi terbaik untuk Paul bermain? Paul adalah seorang pemain tengah.

“Dia boleh bermain dengan gandingan dua rakan sepasukan, dia boleh bermain dengan seorang, atau dia boleh bermain dengan tiga.

“Tapi dia akan tetap berperanan sebagai seorang pemain tengah. Tidak kisahlah apa sistem taktikal yang pasukan bermain, bagi saya Pogba adalah seorang pemain tengah.”

Terpulanglah kepada penyokong United dan Pogba sendiri untuk menafsir penegasan yang dibuat oleh Mourinho itu.

Tapi apa yang jelas, tidak segalanya indah buat Pogba di Manchester United ketika ini dan tidak semua yang dimahukannya, akan didapatinya.

(BERSAMBUNG)

Advertisement

Must Watch Video