Skip to main content

Rencana

Pogba cetus ribut baru di Old Trafford

13917paulpogba.jpg
Ia sudah menjadi jenaka di Old Trafford bahawa Paul Pogba – suatu ketika pemain bola sepak termahal dunia sebelum status itu diambil alih oleh Neymar – lebih dikenali kerana stail rambutnya berbanding apa yang mampu dilakukannya di atas padang.

Lapan belas bulan selepas perpindahannya daripada Juventus dengan tanda harga £89 juta (RM490 juta), penyokong Manchester United masih tertanya-tanya apakah mereka sudah menyaksikan yang terbaik daripada pemain antarabangsa Perancis itu.

Di manakah posisi terbaiknya? Adakah dia berupaya bermain dengan formasi hanya dua pemain tengah?

Hakikat bahawa peminat masih berteka-teki bagaimana untuk mengerah yang terbaik daripadanya, menyerlahkan ada masalah besar yang berkaitan dengannya.

Tidak syak lagi Pogba ada menampilkan aksi-aksi cemerlangnya, terutama apabila segala-galanya berjalan baik dan ketika dia berada di puncak kecemerlangannya, dia mempesonakan untuk ditonton.

Tapi sudah acap kali juga dia dilihat berhempas-pulas dan terumbang-ambing, terutama apabila membentuk gandingan dua pemain tengah bersama Nemanja Matic.

Berdepan Tottenham di Wembley awal bulan ini (United tewas 2-0) dan sekali lagi menentang Newcastle (United tewas 1-0), keadaan mencapai titik kritikal apabila Pogba dikeluarkan – suatu tindakan yang seboleh-bolehnya mahu dielakkan oleh pengurus, Jose Mourinho.

Terdapat pertikaian bahawa apabila anda membelanjakan sebegitu besar jumlah wang untuk seorang pemain tengah, maka apa yang sekurang-kurangnya anda boleh lakukan ialah memainkannya di posisi kegemarannya.

Dalam pada itu, Mourinho mungkin berasakan seorang pemain dengan nilai besar seperti Pogba harus berupaya bermain dalam lebih daripada satu posisi dan tidak salah untuk pengurus itu mengharapkan pemainnya untuk turut memikul tanggungjawab bertahan – di sinilah kekurangan ayam tambatannya itu.

Pemain tengah United itu digantikan oleh Michael Carrick selepas 66 minit di St James' Park dan Mourinho segera menjelaskan ia bukanlah disebabkan pemain itu cedera dalam perlawanan yang kesudahannya menyaksikan kemenangan memihak skuad Rafa Benitez itu.

Ia adalah kali kedua dalam tiga perlawanan yang menyaksikannya dikeluarkan di samping diketepikan daripada kesebelasan permulaan dalam kemenangan 2-0 ke atas Huddersfield Town minggu lalu.

Ditanya apakah tindakannya itu didorong oleh kemungkinan Pogba tercedera, Mourinho tidak pun berselindung: “Tidak… tiada masalah seperti itu.

“Saya hanya mahukan cara lebih baik untuk kami keluar daripada fasa pertama menentang sebuah pasukan yang bertahan dengan mampat.

“Saya melakukan percubaan dengan pendekatan mudah Michael Carrick kerana dia cuba melakukan segala-galanya dengan mudah.”

Apakah ia petanda awal hubungan yang semakin sukar di antara Pogba dan Mourinho?

(BERSAMBUNG)

Advertisement

Must Watch Video