Skip to main content

Advertisement

Rencana

Pirloball buat Sarriball nampak lapuk

pirlo-cover-pix.jpg
Andrea Pirlo bukan nama asing bagi peminat bola sepak Itali. Kini bekas pemain tengah bertaraf legenda itu menyasarkan satu lagi episod penuh gemilang bersama kelab yang dia pernah mencurahkan bakti sewaktu penghujung kerjayanya sebagai pemain.

Setelah menduduki kerusi pengurus secara rasmi bulan lepas, Pirlo mengumumkan yang dia bakal merevolusikan gaya permainan Juventus dengan menerapkan pendekatan yang lebih mementingkan penguasaan bola berbanding dengan gaya ‘Sarriball’ yang tidak memberangsangkan oleh pengurus musim lalu, Maurizio Sarri.

Baru-baru ini, Pirlo menyudahkan tesis rasminya yang bertajuk ‘Bola Sepak Yang Saya Mahukan’ bagi mendapatkan lesen Jurulatih Profesional UEFA dan berjaya meraih markah setinggi 107 daripada 110!

Ternyata falsafah Pirlo diterima baik oleh pemainnya setakat ini apabila Juventus mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Sampdoria hujung minggu lalu.

Jika dilihat daripada segi statistik, Juventus mencatatkan penguasaan bola setinggi 66 peratus dan berjaya melakukan sebanyak 20 percubaan ke pintu gol lawan, angka yang pastinya membuatkan peminat Juventus tersenyum riang.



Penanda aras buat Pirlo pastinya bukan setakat kejayaan di dalam liga domestik semata-mata tetapi matlamat utamanya adalah untuk merangkul trofi Liga Juara-Juara Eropah, satu pencapaian yang kali terakhir dikecapi pada 1996.

“Jika dilihat pada Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, pemenangnya adalah pasukan yang berjaya merampas kembali bola dalam tempoh masa paling singkat,” katanya seperti dipetik akhbar The Guardian.

“Kami akan berusaha sehabis daya untuk membuktikan kepada peminat bahawa Juventus mahu memenangi Scudetto buat kali ke-10 berturut-turut dan sekurang-kurangnya sampai ke final Liga Juara-Juara,” tambah jurulatih berusia 41 tahun itu.

Pirlo tidak memiliki pengalaman luas sebagai jurulatih profesional dan ini mungkin mendatangkan masalah dalam jangka masa panjang, namun dia memiliki kualiti-kualiti lain yang pastinya akan merangsang kemajuan pasukan.

Tidak ada ramai pemain lain dalam Serie A seperti Pirlo yang pernah bermain untuk tiga kelab teratas Itali, tidak ramai pemain yang mampu memahami kekuatan dan kelemahan serta budaya kesemua kelab tersebut secara mendalam.

Sepertimana Zinedine Zidane dihormati dan disegani di Real Madrid, Pirlo juga seorang pemain yang telah mengecapi begitu banyak kejayaan dan ini pastinya akan mendatangkan rasa hormat daripada kesemua pemain di bawah bimbingannya.

Daripada segi perwatakan pula, Pirlo memiliki keyakinan yang teramat tinggi dan mampu menjadikan Juventus satu kelab yang sentiasa percaya bahawa mereka mampu memperoleh kemenangan tidak kira siapa pun lawan yang dihadapi.

Dalam buku autobiografi Giorgio Chiellini, pemain veteran Juventus itu menyebut, “Pemain handalan bak makhluk asing seperti Pirlo harus menerima hakikat yang mereka harus mengendalikan sekadar manusia biasa apabila dia menjadi jurulatih pada satu hari nanti.”

Selepas mengharungi satu musim yang digambarkan penuh dengan penderitaan di bawah pengelolaan Sarri, Juventus pastinya akan menunjukkan perubahan positif tahun ini.

Enam kali juara Serie A, dua kali pemenang Liga Juara-Juara, pemenang Piala Dunia, apa pencapaian seterusnya buat ‘Il Maestro’? Sama-sama kita nantikan.  

Advertisement

Must Watch Video