Skip to main content

Advertisement

Rencana

Pingat emas Sukan Asia masih relevan

hoki-malaysia.jpg
Rentetan kekalahan pasukan hoki lelaki negara kepada Australia A dalam siri persediaan di Perth, Australia, ketika ini tetap tidak menjejaskan peluang mereka untuk meraih pingat emas Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia, bulan depan.

Tiga kekalahan berturut-turut kepada ‘pasukan simpanan Australia’ mungkin mencetuskan kerisauan dalam kalangan peminat hoki negara mengenai peluang The Malaysian Tigers memburu pingat emas Sukan Asia 2018 untuk layak automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, saya memandang dari sudut lain kerana keputusan dalam aksi persahabatan tidak boleh mengukur tahap keupayaan sebenar sesuatu pasukan, apatah lagi Australia mempunyai kumpulan pemain-pemain berkualiti yang cukup besar.

Pasukan negara sering berdepan kesukaran untuk menewaskan lawan dari Australia termasuk Institut Sukan Australia (AIS) yang sentiasa menjadi skuad kedua buat gergasi nombor 1 dunia itu.

Walaupun ia cuma Australia A, tetapi pemain-pemain ini bila-bila masa sahaja boleh diserap masuk ke dalam pasukan utama Kookaburras atau lebih tepat lagi mereka sebenarnya sudah pun ‘mengetuk pintu’ skuad senior negara berkenaan.

Keputusan perlawanan tidak begitu penting kerana aksi-aksi kompetitif tinggi sangat diperlukan untuk mencuba pemain-pemain yang mungkin telah disenarai pendek agar memberikan peluang kepada mereka untuk mendapatkan ‘fine tuning’ sebelum Sukan Asia 2018.

Ada sesetengah pihak mengecam kenapa Australia dijadikan pilihan, bukannya di benua Eropah?

Destinasi Eropah pastinya menelan kos belanja yang sangat tinggi dan pada masa sama, menyukarkan pasukan negara mendapatkan perlawanan-perlawanan berkualiti kerana mereka sudah mempunyai program-program yang telah pun dirangka lebih awal.

Daripada segi cuaca juga tidak menjadi masalah kerana para pemain akan kembali ke Malaysia untuk meneruskan latihan sebelum berangkat ke Jakarta --mengadakan beberapa perlawanan persahabatan sebelum Sukan Asia 2018 bermula

Saya tidak memihak kepada Australia tetapi semua sedia maklum bahawa gaya permainan Australia adalah campuran Asia dan Eropah.

Oleh itu, saya berasakan persiapan untuk menghadapi Sukan Asia 2018, ke Australia sudah memadai selain berbekalkan beberapa persediaan yang telah dilakukan sebelum ini seperti Piala Sultan Azlan Shah, Sukan Komanwel Gold Coast dan siri jelajah Argentina baru-baru ini.

Skuad negara termasuk para pemain dan peminat-peminat hoki tanah air boleh ‘melupakan’ Piala Dunia buat seketika kerana fokus sekarang terarah kepada Sukan Asia 2018.

Misi memburu pingat emas tetap relevan dan saya amat berharap barisan kali ini berjaya menamatkan penantian untuk beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 sejak kali terakhir tampil dalam edisi 2000 di Sydney, Australia.
 

Advertisement

Must Watch Video