Perjalanan Liga Malaysia 2017 belum pun sampai ke peringkat pertengahan tapi macam biasalah apabila pasukan jadi kelam-kabut dan semua mengambil sikap tunggu dan lihat.
Senario ini lebih ditujukan buat segelintir yang punya pengurusan pasukan yang dianggotai "Sarjana Bolasepak Ekspres".
Buat penyokong pula, mereka sudah bersiap dengan lirik lagu yang penuh ikhlas yang akan didendangkan di stadium kelak.
Penyokong ada hak mereka -- Eh! mereka bayar tiket tau.
Ia seolah-olah sudah jadi perkara wajib apabila di awal musim, pembelian pemain atau jurulatih akan dilakukan oleh segelintir individu yang punya kuasa besar dalam persatuan bola sepak masing masing.
Ia akan berlaku setiap tahun. Jurulatih hanya akan diumumkan sebulan sebelum liga bermula.
Dipendekkan cerita, dalam sesi latihan pertama pasukan, muka jurulatih jadi merah padam.
Semuanya gara-gara pemain yang dibeli lebih awal tidak masuk dalam perancangan jurulatih berkenaan.
Apa yang jurulatih nak lakukan? Jadi, gunakan sajalah dengan penuh rasa tertekan apa yang ada.
Bila kalah saja, mulalah keluar kenyataan jurulatih sudah banyak diberi masa dan banyak lagi alasan yang akan diberikan pengurusan. Jadi, mana hak jurulatih?
Di Malaysia ia bukan asing. Jurulatih hebat kena tendang tapi yang tak berapa hebat dijulang.
Di sinilah akan mula ditayangkan drama "Ahli Politik Presidenku".
Jurulatih ada lesen -- baik yang diiktiraf Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) atau Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).
Tapi, kalau sijil kejurulatihan dari Brazil, kenalah berhati-hati sikit kerana ada yang dikeluarkan di belakang kedai atau rumah.
Setiausaha, bendahari mana ada lesen kejurulatihan. Ada seorang dua sahaja yang ada. Malaysia memang juara bab ini.
Jadi, kepada individu-individu terbabit, jangan baling batu sorokkan tangan..
Ada lagi ke jurulatih kena buang atau direhatkan? Sama sama kita nantikan.