Skip to main content

Rencana

Pertelingkahan Neymar-Semedo buka laluan Coutinho ke Barca?

neymar-bust-up-280717.jpg
Segala-galanya tampak berjalan lancar di kem Barcelona pada awalnya sempena mengharungi kempen musim baru ini.

Dengan kehadiran jurulatih baru, Ernesto Valverde, serta kehadiran muka baru seperti Nelson Semedo, Douglas dan Gerard Deulofeu dalam persiapan mengubati duka musim 2016-17 selain faktor perjanjian baru Lionel Messi selama empat tahun, persiapan skuad berpangkalan di Catalunya itu bertukar menjadi keruh.

Ini berikutan spekulasi masa depan Neymar yang tidak menentu sehingga menjadikan Barca kelam-kabut.

Ketua pasukan Brazil itu membentuk trio berbisa 'MSN' yang turut ditunjangi Luis Suarez dan Lionel Messi.

Jurulatih terdahulu, Luis Enrique, dikhabarkan tawar hati untuk terus membimbing Barca gara-gara sukar menjaga hati pemain-pemain tertentu, biarpun sempat membawa kejayaan 'treble' pada musim 2015.

Dengan kesanggupan Paris Saint-Germain (PSG) memenuhi klausa pelepasan pemain itu yang bernilai €222 juta (RM1.1 billion), kini kata putus terletak di tangan Neymar.

Berita penghijrahan Neymar makin dicanang apabila dia terlibat dalam pergeseran dengan Semedo dalam sesi latihan di Miami, Amerika Syarikat, hari ini.

Rakaman situasi itu disiarkan oleh Sky Sports yang memaparkan Neymar terpaksa ditenangkan oleh Sergio Busquets.

Neymar naik angin kerana ketika dia cuba melakukan jaringan, tangan Semedo mengenai lehernya dan kedua-dua pemain itu pun bersemuka sebelum pemain pertahanan itu mengundurkan diri kerana enggan melanjutkan pertelingkahan.

Namun, Neymar yang belum berpuas hati berjalan ke arah pemain Portugal itu tetapi selepas didakap oleh Busquets, dia menghempaskan seragam latihannya sebelum melepaskan geram kepada bola.

Ini bukan kali pertama pemain lincah itu berkelakukan begitu.

Pada Mei lalu, Neymar berang apabila dinasihati oleh pembantu jurulatih, Juan Carlos Unzue, supaya memberikan komitmen dalam latihan dan mengelak daripada kesilapan yang dilakukan legenda kelab,
Ronaldinho.

Ditambah pula dilabel masih di bawah bayang-bayang Messi meskipun hubungan mereka berjalan dengan baik, maka cabaran baru harus antara yang menjadi pilihan.

Tetapi, hal ini boleh menggugat kesabaran Barca serta mendorong kepada pembelian panik.



Ketika ini, nama bintang Liverpool, Philippe Coutinho, dipetik sebagai pengganti ideal. Tambahan pula jaguh LaLiga itu memang sudah lama mengidamkan khidmat perancang The Reds dari Brazil itu.

Adakah musim panas ini bakal menyaksikan satu lagi rekod perpindahan termahal berlaku? 

Selagi jendela perpindahan masih terbuka, segalanya masih mungkin dalam pasaran yang semakin menggila ini.

Advertisement

Must Watch Video