Saingan arena bola sepak Malaysia 2017 yang bermula Januari lalu secara tidak langsung menghidupkan semula keghairahan di kalangan peminat-peminat bola sepak tanah air.
Biarpun wujud serdak-serdak yang berlegar di sekitar persiapan beberapa pasukan ternama tanah air, namun segalanya kembali jernih apabila wisel pembukaan ditiupkan pada perlawanan Piala Sumbangsih sebagai simbolik bermulanya pengembaraan setiap pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Super.
Perpindahan pemain, kemasukan pemain import, isu penaja dan tidak lupa juga reka bentuk jersi dan logo antara yang hangat diperkatakan ‘netizen bola’ di media sosial.
Namun, penulis tertarik untuk mengolah jalan cerita jurulatih-jurulatih yang mengepalai pasukan di Liga Super. 12 pasukan yang dimaksudkan terdiri daripada 12 ketua jurulatih. Tujuh daripadanya adalah warga tempatan manakala selebihnya adalah tenaga asing.
Azmi Mohamed, Tan Cheng Hoe, Zahasmi Ismail, Dollah Salleh, E. Elavarasan, David Usop dan P.Maniam adalah senarai jurulatih warga tempatan.
Daripada keseluruhan senarai, paling mencuri tumpuan tidak lain dan tidak bukan, Dollah Salleh yang kembali ke pangkuan Pahang. Seorang individu yang terkenal dengan percaturan magis biarpun pernah terkulai layu di peringkat antarabangsa.
Kehadiran semula Dollah bersama Tok Gajah dilihat berupaya memberikan suntikan moral kepada pasukan selepas sekadar diselamatkan hasil daripada potongan mata pasukan lawan untuk kekal di saingan Liga Super. Aura yang dimiliki Dollah turut menarik beberapa pemain dengan nama besar untuk menyertai Pahang.
Bagi satu-satunya pengendali berbangsa cina di Liga Super iaitu Tan Cheng Hoe, jurulatih muda ini dilihat diberikan cukup ruang untuk persediaan Kedah. Berbeza dengan Dollah Salleh, Cheng Hoe yang pernah berguru dengan Datuk K. Rajagopal dilihat lebih gemar menggunakan tenaga muda atau pun pemain yang berusia 30 tahun ke bawah untuk dijadikan aset pasukan.
Lihat sahaja kepada pemain seperti Halim Saari, Syafiq Ahmad, Syazwan Tajudin dan Rizal Ghazali, mereka ini penulis jangkakan akan mempunyai nama besar suatu hari nanti. Dengan Kedah dilihat berpeluang beraksi di saingan Piala AFC sekiranya JDT berjaya ke Liga Juara-Juara Asia (ACL), Cheng Hoe dilihat berada di landasan tepat jika mahu mencipta nama sehebat sifunya.
Bagi Azmi Mohamed, P. Maniam dan Zahasmi Ismail, tekanan dan tanggungjawab yang perlu digendong mereka dilihat hampir sama.
Mengemudi pasukan ternama tanah air, tekanan yang dihadapi bukan sahaja daripada persatuan, tetapi juga peminat yang sudah tentu tidak rela sekiranya pasukan Felda United, Selangor mahupun Kelantan terjerumus ke tangga bawahan liga nanti.
Namun, faktor yang paling getir bagi ketiga-tiga jurulatih ini sudah tentu mahu menjaga reputasi pasukan agar tidak mudah ‘dianjing-anjingkan’ pasukan kurang ternama di atas padang. Saya pasti individu-individu ini amat memahami betapa pasukan yang mereka perlu mempamerkan prestasi memuaskan.
Begitu juga dengan David Usop yang memegang jawatan ketua jurulatih skuad Ngap Sayot, beliau mempunyai tugas berat untuk mengembalikan kepercayaan peminat Sarawak yang tersasar jauh daripada landasan selepas ditinggalkan terkontang-kanting oleh Datuk K. Rajagopal.
Manakala bagi Elavarasan, jurulatih yang cukup berpengalaman di arena bola sepak tanah air ini mungkin musim terbaik bagi PKNS FC selepas berjaya mengumpul senarai pemain berkualiti gabungan pemain tempatan dan import. Kembalinya bekas kapten mereka, Fauzan Dzulkifli, selain nama besar lain seperti Safee Sali, K Gurusamy dan Khyrill Muhymeen. Dengan dana yang mencukupi, tiada sebab untuk pasukan PKNS tidak menyerlah untuk musim 2017 ini.
Bagi baki lima pengendali import, individu paling otai pastinya Karl Heinz Weigang yang mengemudi semula pasukan Perak. Biarpun berusia 81 tahun, namun ketajaman dan taktikal yang digunakannya masih lagi relevan dan Perak dikatakan bakal menjadi salah sebuah pesaing utama di saingan liga.
Ashley Westwood yang merupakan bekas jurulatih Bengaluru FC pula dikhabarkan kini berdepan krisis pemain walaupun saingan liga baru bermula apabila latihan padat yang diterapkan kurang digemari pemain Pulau Pinang. Bagaimanapun, itu hanyalah satu halangan kecil bagi beliau kerana apa yang lebih utama tentunya mahu melihat pasukan Harimau Kumbang kembali digeruni lawan.
Rahmad Darmawan pula yang berjaya membawa T-Team ke separuh akhir Piala Malaysia musim lalu pasti masih terkenang kekalahan 5-0 kepada Pahang baru-baru ini dan itu merupakan ‘wake up call’ terbaik buat pengendali dari Indonesia itu agar berwaspada dengan pasukan lain.
Eric Williams pula perlu segera menterjemahkan aksi pemain-pemain Melaka United dengan kemenangan pertama musim ini selepas berbelanja besar untuk merombak pasukan dan jurulatih musim lalu bagi menghadapi musim 2017.
Akhir sekali, sudah pasti penyambung legasi Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, yang mengambil tempat Mario Gomez yang dipecat atas sebab-sebab tertentu. Adakah Mora mempunyai kebolehan yang cukup untuk mengemudi pasukan terhebat di Malaysia buat masa kini? Hanya masa yang akan menentukan.
Apa pun andaian yang akan timbul ketika saingan liga berlangsung, asasnya masih tetap sama, siapa yang cemerlang akan disanjung, manakala yang terlingkup akan direhatkan ataupun diberhentikan separuh jalan.
Jika tahun lalu Ahmad Yusof muncul jurulatih pertama direhatkan, siapa pilihan anda untuk musim 2017 ini? Jika Tan Cheng Hoe muncul pengendali terbaik bagi musim 2016, siapa pula calon kali ini? Dan sebagai penutup, siapakah calon terkini yang bakal menggantikan tempat Datuk Ong Kim Swee?