Skip to main content

Rencana

Persaraan mengejut empat tonggak JDT

12716safiq.jpg

Tindakan kapten skuad senior kebangsaan, Safiq Rahim dan pemangkunya, tonggak pertahanan Aidil Zafuan Abdul Radzak mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa minggu ini menimbulkan banyak persoalan daripada jawapan.

Kedua-dua pemain itu, mengumumkan persaraan di laman sosial Facebook kelab mereka, Johor DT iaitu Johor Southern Tigers.

Selepas dua pemain itu mengumumkan persaraan, bek kanan S Kunanlan dan pemain tengah, Amirulhadi Zainal mengikuti jejak mereka dengan turut mengumumkan persaraan menerusi laman sosial yang sama.

Apakah benar keempat-empat pemain itu tidak lagi mahu mengerah kudrat buat negara?

Apakah keputusan yang dibuat ini benar keputusan sendiri atau atas pengaruh individu serta pihak tertentu?

Safiq dan Aidil adalah dua pemain yang penulis kenali sejak mereka beraksi di peringkat Sukma dan ketika membarisi skuad remaja kebangsaan bawah 20 tahun kendalian Datuk K. Rajagobal pada 2004.

Daripada peringkat remaja hingga senior, mereka sentiasa memberi komitmen terbaik buat skuad negara.

Sudah pasti, ia juga menimbulkan persoalan mengapa mereka mahu berundur di kemuncak prestasi dan ketika barisan kebangsaan baru mula mendapat semula rentak selepas saingan play off Piala Asia.

Memang ia perkara biasa di Eropah apabila seorang pemain senior berundur di peringkat antarabangsa, selepas kian lama mengerah kudrat.

Tetapi, tindakan bintang Eropah berundur tidak menimbulkan persoalan dan peminat mereka juga memahami tindakan mereka.

Penulis amat berharap tindakan Safiq, Aidil ,Kunanlan dan Amirulhadi berundur juga tiada kaitan dengan pucuk pimpinan kelab JDT.

Bagi penulis, jika terdapat kaitan ia sebenarnya hanya merugikan cita-cita JDT sendiri untuk beraksi di saingan Liga Juara-juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Untuk mana-mana pasukan yang ingin memasuki saingan elit kelab Asia itu, ranking skuad kebangsaan dan pungutan mata kelab negara anggota dalam saingan anjuran AFC dikira dalam pungutan mata kerana ini adalah antara syarat kelayakan pasukan.

Kini penulis percaya, pengendali kebangsaan Datuk Ong Kim Swee akan mencari pendekatan terbaik mengisi ketiadaan empat pemain tonggak itu.

Jika mereka sudah buat keputusan, ia wajar dihormati dan perjuangan perlu diteruskan tanpa mereka di Piala Suzuki AFF dan kelayakan Pusingan Ketiga Piala Asia tahun depan.

 

Advertisement

Must Watch Video