Skip to main content

Rencana

Perjuangan belum berakhir

hoki-lelaki-180617.jpg
Walaupun tewas dalam dua perlawanan pertama kepada dua pasukan pilihan dalam Kumpulan A, bagi saya perjuangan masih panjang dan belum berakhir buat pasukan hoki Malaysia dalam Liga Hoki Dunia 3 yang rancak berlangsung di London ketika ini.

Tewas 2-5 kepada juara Olimpik dan pasukan no. 1 dunia, Argentina, dalam perlawanan pembukaan disusuli pula oleh kekalahan dan 3-7 kepada tuan rumah, England, di Pusat Hoki Lee Valley, semalam.

Ada dua lagi perlawanan penting selepas ini, iaitu bertemu Korea Selatan sebelum perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang China.

19 Jun adalah hari rehat buat pasukan negara. Hari rehat inilah masanya untuk pasukan negara melihat semula apa yang perlu diperbaiki dan diperkuatkan untuk memastikan kita akhiri saingan sekurang kurangnya di tangga keempat Kumpulan A untuk layak ke suku akhir, seterusnya secara matematik layak ke Piala Dunia 2018.

Jika dilihat daripada dua perlawanan awal, sudah pasti usaha membentuk pertahanan dengan pantas serta teratur secara berpasukan perlu dimantapkan. Sejumlah12 gol telah dilepaskan oleh pasukan negara setakat ini. 

Persefahaman, kombinasi bertahan, terutama di bahagian, kiri harus dititikberatkan. Terutama ketika tewas kepada England, jelas bahagian kiri menjadi sasaran mereka untuk memasuki ke dalam kawasan D pasukan negara.

Dalam hoki moden, tidak ada individu harus dipersalahkan tetapi semua pemain harus mampu membentuk pertahanan, baik bahagian serangan, midfield dan "back four". 

Semua harus menjalankan tugas mereka semasa pasukan bertahan, termasuk penjaga gol yang memberikan arahan dan berkomunikasi dengan berkesan dalam mengawal pemain lawan, terutama dalam kawasan D.

Acap kali terperangkap didalam situasi 4 lawan 3 serta 3 lawan 2 di belakang, harus juga dilihat. Mungkin kemantapan dan kepekaan jentera bahagian tengah negara harus memastikan mereka tidak terperangkap apabila "turn over" berlaku buat pihak lawan.

Korea dan China memang terkenal juga sebagai pasukan yang acap kali bertahan dan melakukan serangan balas pantas.

Ketika ini pasti saat yang sukar perlu dilalui oleh seluruh pasukan negara yang harus menjilat luka kekalahan dua kali berturut-turut.

 Masa inilah semua penain pemain, termasuk pegawai pasukan, harus bersatu. "Stick together" sebagai satu pasukan dalam memastikan moral dan keyakinan pasukan berada di tahap terbaik.

Kita pernah mengalahkan Korea dan China. Tidak mustahil dengan semangat juang yang tinggi dan terus membara, kita mampu mencipta kemenangan yang dicari-cari.

Kita baru tewas dalam dua pertempuran, belum lagi tewas dalam peperangan.

Kepada semua rakyat Malaysia, teruskan memberi sokongan kepada pasukan hoki negara. Percayalah pada ketika ini mereka lebih memerlukan sokongan daripada anda semua.

Kepada The Malaysian Hockey Tigers, ingat perjuangan belum berakhir!
 

Advertisement

Must Watch Video