Skip to main content

Rencana

Perginya seorang legenda

dan-2011.jpg
TANGGAL 2 Mei lalu, Dan Guen Chin meninggal dunia selepas menghidapi barah pankreas selama hampir setahun.

Generasi Y dan Z tidak mengenali siapa Dan.

Bagi generasi terdahulu yang bergantung kepada akhbar sebagai medium maklumat sahih dan benar, Dan satu nama besar.

Dan wartawan sukan yang menjadi sebahagian daripada perakam sejarah pelbagai acara dan temasya sukan dari 1970-an hingga era milenium.

Memulakan kerjayanya bersama The Straits Echo, Dan berhijrah ke The Star pada 1976 sebelum membawa kemahiran mengumpul maklumat lalu diterjemahkan ke dalam bentuk laporan dan penulisan ke The New Straits Times (NST) pada 1981.

Dan bukan sekadar wartawan sukan biasa. Legasi lebih besar anak jati Muar ini ialah kedudukannya selaku penulis di balik tabir untuk Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Bermula dengan kolum Soccer with Supermokh dalam The Star, Dan kemudian membawa bersama Mokhtar berhijrah ke NST menerusi kolum On Target, setiap Selasa. Mokhtar juga menulis dalam Dunia Sukan, majalah bulanan terbitan Kumpulan Utusan.

Dan menjadi tempat Mokhtar meluah isi hatinya. Kebetulan pula kedua-duanya sebaya, Dan lebih tua 39 hari daripada bintang bola sepak pujaan ramai era 80-an itu.

Kolum On Target mempunyai ramai pengikut. Tidak seperti hari ini, atlet zaman itu menjadikan akhbar sebagai wadah berkongsi perasaan, visi dan misi dengan peminat.

Apabila digantung tiga bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) gara-gara beraksi untuk Asian All-Stars menenang South American All-Stars pada 1983, Mokhtar tidak teragak-agak menukilkan pendapatnya.

“Pada pandangan saya, mereka bertindak wajar sebagai ahli sukan sejati – menerima arahan pegawai dan menyempurnakan tugasan. Kesetiaan mereka adalah kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), dan itulah sebabnya mengapa mereka – seperti saya dan 17 yang lain – bermain menentang South American All-Stars yang kemudiannya dimaklumkan tidak diiktiraf FIFA,” petikan On Target, 7 April 1984.

Menerusi kolum itu juga, Mokhtar mendedahkan bagaimana beliau diumpan RM20,000 untuk jaminan tidak menjaringkan gol dan bertindak sebagai kepala untuk memujuk rakan lain bersubahat mengatur keputusan perlawanan.

Pemergian Dan hanya ditangisi ahli keluarga dan rakan-rakan wartawan yang menyedari legasi besarnya sebagai pemerhati dan perakam sejarah sukan di era dunia sukan negara diwarnai pelbagai watak kental, disulami peristiwa pahit manis.

Secara peribadi, penulis dan Dan beberapa kali ditugaskan membuat liputan pelbagai temasya dan acara sukan dalam dan luar negara, termasuk Sukan SEA di Chiangmai 1995, Kejohanan Olahraga Remaja Kebangsaan di Kluang disusuli Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Singapura pada 1999, Sukan Malaysia (Sukma) Pulau Pinang 2000 dan Kejohanan Olahraga Asia di Manila 2003.

Disebabkan Dan bertugas di biro NST di Johor, mendiang banyak merakam pengalaman dan liputan bola sepak negeri itu.

Sedikit sebanyak kami bernostalgia apabila berbicara menerusi telefon kira-kira tiga minggu sebelum Dan meninggal dunia, dengan menyentuh pengalaman nyaris ditukarkan ke negeri lain serta kritikannya terhadap rancangan Dengan Izin.

Penulis terkilan tidak dapat bersua muka dengan Dan ketika cuti sekolah Mac lalu, selepas perancangan melawat mendiang terpaksa ditangguh apabila tiga daripada anak penulis menghidap demam campak.

Selamat tinggal sahabatku, Dan. Anda seorang legenda!

Advertisement

Must Watch Video