RENCANA
Percaturan Bernhardt perlu betul
Dua keputusan perlawanan persahabatan di antara skuad B-22 negara berdepan pasukan bawah 22 tahun Bahrain minggu lepas, jelas sekali telah mengundang duka kepada peminat bola sepak negara.
Perlawanan berkenaan sepatutnya menyaksikan kemenangan boleh berpihak kepada kita, namun ia berakhir dengan satu seri dan satu kalah.
Ia adalah keputusan yang tidak patut terjadi, malah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kita sepatutnya memenangi kedua-dua perlawanan berkenaan.
Iklan
Seharusnya kita memperolehi kemenangan dengan agregat satu atau dua gol dalam perlawanan ujian itu memandangkan terlalu banyak ruang dan peluang yang terhidang buat pasukan muda negara. Namun, ia gagal diterjemahkan dalam bentuk gol bagi menjamin kemenangan mutlak.
Pasukan negara diwakili oleh kesebelasan utama yang disifatkan sebagai pemain ‘regular’ untuk pasukan muda ini. Mereka sering dikumpulkan dan bermain bersama sebagai satu pasukan.
Malah, ada di kalangan mereka ini merupakan pemain utama untuk pasukan negeri atau kelab masing-masing dalam kancah Liga Malaysia musim ini.
Pemain-pemain seperti Muhammad Jafri Firdaus Chew, Adam Nor Azlin, S. Kumaaharan, Muhammad Safawi Rashid, N. Thanabalan, Dominic Tan, Mohd Adib Zainudin dan Matthew Davies adalah pemain-pemain yang dimaksudkan di atas dan sudah sepatutnya mereka memainkan peranan yang lebih besar dalam mengemudi pasukan negara.
Atas faktor mereka inilah, pasukan ini seharusnya memenangi perlawanan persahabatan menentang Bahrain tempoh hari kerana mereka ini sudah matang serta boleh disandarkan harapan.
Jika diimbas perlawanan pertama menentang Bahrain tempoh hari, statistik perlawanan menunjukkan bahawa pasukan negara menguasai 65 peratus penguasaan bola berbanding 35 peratus di pihak Bahrain.
Ia menunjukkan peratusan kawalan permainan yang tinggi, namun sayangnya kita tidak berupaya menjaringkan gol.
Begitu juga dengan peratusan menyerang dan jumlah percubaan ke arah gol dilihat amat tinggi, namun ketumpulan jentera penyudah masih menghantui pasukan negara hingga terlalu sukar untuk membuahkan hasil.
Ketumpulan ini seharusnya menjadi agenda utama jurulatih, Frank Bernhardt, dalam mempersiapkan pasukan untuk perlawanan ujian kedua dan seterusnya.
Namun, apa yang terjadi adalah sebaliknya. Statistik menunjukkan penguasaan bola yang agak seimbang.
Namun begitu, jumlah serangan yang dilakukan oleh pasukan kebangsaan tetap tinggi berbanding pasukan Bahrain, namun ketumpulan jentera serangan sekali lagi menjadi penghalang kejayaan pasukan negara dan Bahrain berjaya menggunakan peluang yang tipis itu untuk mencipta kemenangan.
Adalah amat malang apabila kita gagal meraih kemenangan dalam dua perlawanan persahabatan ini.
Bernhardt seolah-olah hilang punca dan gagal merencanakan pasukan untuk menghasilkan kemenangan. Seharusnya Bernhardt dan Aminuddin Hussin selaku penolong jurulatih perlu bijak dalam mencatur dan menggunakan barisan pemain yang ada.
Pasukan ini bukannya tidak bagus, malah pasukan ini amat berpotensi untuk mencapai sasaran pembentukannya tetapi ia haruslah direncana dan dicatur dengan lebih bijak lagi oleh pengendali pasukan.
Sebagai rekod, pencapaian Bernhardt sepanjang pengendaliannya bersama pasukan muda negara sejak Mac 2016, hanya mencatat dua kemenangan, tiga seri dan tiga kekalahan serta mengumpul 13 jaringan dan 10 bolos.
Ini adalah pencapaian yang kurang memberangsangkan dalam tempoh enam bulan pertama ini. Kita ada enam bulan kedua sebelum bermulanya temasya Sukan SEA yang menjadi matlamat sebenar penubuhan pasukan ini.
Diharapkan Bernhardt dapat menumpukan sepenuh perhatian dan mencurahkan segala pengalamannya dalam membentuk satu pasukan yang cukup padu dan kuat bagi pasukan negara benar-benar berupaya merealisasikan harapan jutaan peminat bola sepak tanahair untuk memperoleh ibu emas dalam Sukan Sea 2017.
Walaupun ia merupakan juara di peringkat Asia Tenggara, namun ia sudah cukup untuk menjernihkan air muka jutaan penyokong bola sepak negara, apatah lagi ia diadakan di laman sendiri, di tanah tumpah darah kita semua.
Must-Watch Video



