Skip to main content

Advertisement

Rencana

Pep bakal lakar sejarah agung?

pep-guardiola.jpg
Pep Guardiola.

Satu nama yang begitu sinonim dengan bola sepak dan kejayaannya di pentas Eropah. Keupayaannya terbukti bersama kejayaan yang dijulang sewaktu membimbing pasukan Barcelona dan Bayern Munich.

Namun, selepas menyertai Manchester City sejak 2016, musim ini merupakan peluang terbaik buat Pep Guardiola untuk melakar sejarah agung andai mampu muncul pemenang dalam tiga kejohanan yang masih disertai Manchester City.  Sewaktu permulaan liga, mereka telah berjaya menjuarai Piala Perisai Komuniti apabila menumbangkan Chelsea 2-0 di Stadium Wembley.

Andai segalanya berjalan lancar, mungkin mimpi Pep Guardiola bakal menjadi kenyataan untuk menjulang tiga lagi trofi iaitu Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara Eropah dan Piala FA.

Dalam saingan liga, dengan kelebihan satu perlawanan dan dibezakan dua mata dengan Liverpool, peluang nampak cerah buat The Citizens andai mampu mencipta kemenangan dalam baki lapan perlawanan. Andai Liverpool juga mencatatkan kemenangan dalam semua perlawanan, Man City masih mempunyai kelebihan satu mata untuk mereka mempertahankan gelaran juara yang dimenangi musim lalu.

Dalam Liga Juara-Juara Eropah pula, Manchester City bakal berdepan Tottenham Hotspur di peringkat suku akhir. Peluang mungkin seimbang buat kedua-dua pasukan walaupun hakikatnya daripada segi kualiti pemain, Man City mempunyai peluang yang lebih cerah. Andai layak ke separuh akhir, lawan mereka adalah antara Ajax ataupun Juventus. Mampukah mereka ke pentas final Liga Juara-Juara Eropah dan menjulang kejuaraan buat kali pertama? Semuanya tidak mustahil.

Bagi Piala FA, kejayaan bangkit 3-2 untuk menewaskan Swansea City di tambah kegagalan Man United yang tewas kepada Wolverhampton menyerlahkan lagi peluang mereka. Dalam separuh akhir, berdepan Brighton bukan satu masalah besar buat The Citizens dan andai ke pentas final, mereka bakal berdepan sama ada Watford atau Wolverhampton.

Sekirany keempat-empat piala musim ini menjadi milik Manchester City, mereka akan menyaingi rekod Manchester United yang menjulang 'treble' pada musim 1999, dan secara tidak langsung Pep Guardiola akan mencipta sejarah agung selaku pengurus yang membawa pasukan dari England menjulang empat kejuaraan dalam semusim.

 

Advertisement

Must Watch Video