Nampaknya hasrat penyokong Kelantan ingin melihat aksi pertama pasukan kesayangan di laman sendiri tidak kesampaian buat kali kedua selepas perlawanan berdepan Johor Darul Takzim, JDT yang sepatutnya berlangsung pada 4 Februari nanti ditunda ke satu tarikh yang masih belum diputuskan.
Ini berikutan skuad Harimau Selatan yang berjaya melayakkan diri ke pusingan play-off Liga Juara-Juara Asia (ACL) untuk bertemu kelab Gamba Osaka di Jepun pada 7 Februari.
Paling kecewa pastinya penyokong setia The Red Warriors di luar negeri Kelantan yang telah pun melakukan persiapan awal untuk ke stadium keramat mereka di Kota Bharu.
Apa tidaknya, ada yang telah memohon cuti lebih awal, menempah tiket penerbangan, malah kelab penyokong juga dikatakan telah sediakan bas untuk ke Kota Bharu. Pastinya satu kerugian besar buat mereka yang telah mengeluarkan begitu banyak wang ringgit.
Apa yang paling dikesali penyokong adalah penundaan itu dibuat di saat akhir iaitu 3 hari sebelum sepak mula pada 4 Februari ini dan ia bercanggah dengan peraturan yang ditetapkan oleh Usahasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia (FMLLP) di mana sesuatu penundaan perlawanan perlu dibuat 15 hari sebelum tarikh perlawanan.
Ada yang mempersoalkan adakah JDT tiada skuad pemain kedua yang kuat untuk diturunkan berdepan Kelantan jika tidak ingin skuad utama kepenatan bagi menghadapi perlawanan di Jepun nanti?
Jadi, siapa yang harus dipersalahkan sebenarnya atas penundaan ini? Perlu diingat, ini adalah kali pertama skuad dari Malaysia bakal beraksi di pusingan kelayakan akhir Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan pastinya mereka memerlukan persiapan rapi ditambah tempoh perjalanan yang lama.
Tetapi yang terkesan dengan penundaan itu sudah pasti penyokong baik dari Kelantan atau Johor sendiri yang hanya menunggu masa untuk ke stadium.
Diharapkan semua penyokong tetap tabah dan tidak akan jemu untuk ke stadium selepas ini. Beginilah asam garam arena bola sepak.
Selamat maju jaya buat JDT dan TRW!