Skip to main content

Rencana

Penangan Syed Syafiq ledakkan pukulan sudut penalti

syed-syafiq.jpg

Mungkin ramai yang tidak mengenali Syed Muhammad Syafiq Syed Cholan.

Namanya tidak segah Razie Rahim, Shahril Saabah mahupun Faizal Saari sebagai antara pakar pukulan sudut penalti terbaik negara.

Dengan kebanjiran pakar pukulan sudut penalti dari kalangan pemain import yang dibawa masuk oleh kelab-kelab dalam Liga Hoki Malaysia TNB 2016 (TNBLHM2016) yang sedang berlangsung, kemunculan Syed Syafiq begitu mengujakan saya dan pastinya juga peminat hoki tanahair.

Pemain yang mewakili TNB ini adalah bekas pemain Skuad Projek 2016 dan kini antara pelatih Skuad Pembangunan Negara.

Syed Syafiq muncul penyelamat apabila pakar pukulan sudut penalti TNB, Shahril Saabah, cedera dan terpaksa direhatkan buat satu jangka masa yang panjang.

Dia memikul tanggungjawab dengan cemerlang ketika ketiadaan Shahril, dengan menjaringkan lapan gol buat TNB dalam Liga Premier dan Piala Tan Sri P. Alagendra. Daripada lapan gol itu, enam adalah hasil pukulan sudut penalti.

Paling manis apabila TNB menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) 3-2 di peringkat separuh akhir Piala Tan Sri P. Alagendra baru baru ini, sekaligus layak ke perlawanan akhir bertemu Sapura pada 13 September ini.

Syed Syafiq telah menjaringkan dua gol dan menghasilkan satu pukulan penalti yang disudahkan oleh Azami Adabi. Statistik menunjukkan daripada empat pukulan penalti yang diperolehi, tiga berkesudahan dengan jaringan dan ini adalah satu statistik yang amat cemerlang.

Lebih-lebih lagi, dia menjaringkan gol kemenangan dengan masa berbaki 20 saat. Dengan tekanan yang begitu tinggi, dia berjaya menyudahkannya dengan cemerlang -- menunjukkan dia bukan pakar pukulan sudut penalti yang "suam suam kuku" atau mengharapkan nasib semata-mata.

Dengan Nam Hyun Woo (KLHC) dan Jang Jonghyun (THT) dari Korea Selatan menggungguli carta penjaring menerusi pukulan sudut penalti, Syed Syafiq menyinar mewakili pakar pukulan sudut penalti. Jika tidak, sudah tentu pemain asing sahaja yang menyinar.

Semua sedia maklum Razie Rahim tidak bermain dalam liga tahun ini kerana menjalani latihan kadet polis manakala pakar pukulan sudut penalti tempatan yang lain seperti Faizal Saari yang sebelum ini menjadi penjaring terbanyak liga, tidak menyinar, begitu juga Najmi Farizal, bekas pakar pukulan sudut penalti belum menjumpai rentaknya setakat ini.

Saya percaya dengan lebih banyak pendedahan dalam perlawanan antarabangsa dan latihan yang lebih spesifik, Syed Syafiq boleh menjadi antara pakar pukulan sudut penalti negara.

Malaysia perlu ada ramai pakar ini kerana jika kita hanya mengharapkan dua atau tiga pakar sahaja, ia akan menjejaskan pasukan dalam melakukan pertukaran pemain dalam setiap perlawanan antarabangsa dan juga jika ada berlaku 'off form' atau kecederaan serius.

Kepada Syed Syafiq, ini baru titik permulaan. Untuk menjadi antara yang terbaik, anda harus bekerja lebih keras, terutama latihan individu yang hanya boleh dibuat sebelum atau selepas latihan berpasukan atau pada hari cuti.

Inilah pengorbanan yang anda perlu lakukan jika ingin menjadi pakar pukulan sudut penalti utama negara suatu hari nanti dan antara yang terbaik di peringkat antarabangsa.

Tiada kejayaaan yang datang tanpa pengorbanan! 

 

Advertisement

Must Watch Video