Skip to main content

Rencana

Pemain bola sepak bukan pengemis

271016-bola-tiang-gol.jpg
Ketika dua pasukan sibuk mempersiapkan diri dalam memburu dan mencipta sejarah tersendiri dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2016 di antara Selangor dan Kedah di Stadium Shah Alam, Ahad ini, masih lagi terdengar pelbagai isu-isu yang saban tahun menghimpit pemain dan persatuan negeri atau kelab.

Masih lagi ada persatuan atau kelab dibelenggu masalah kewangan dalam menyelesaikan gaji ataupun bonus pemain dalam era profesional ini. 

Ia juga berlaku kepada pasukan-pasukan yang sedang berada pada prestasi yang boleh membanggakan sebagaimana pasukan yang sedang membuat persiapan terakhir untuk pentas akhir Piala Malaysia 2016 ini, di mana ada pihak menyatakan bonus pemain tidak dibayar.

Sudah pasti, permasalahan ini akan menjejaskan sedikit moral, psikologi serta tumpuan pemain dan pasti akan mengeruhkan hubungan di antara pemain dan pengurusan persatuan. 

Kenapa ini masih berlaku? 

Mengapa tidak ada kesedaran dalam pentadbiran? 

Bagaimana ingin mengubah situasi ini?

Inilah persoalan yang timbul apabila perkara ini berlaku. 

Sudah pasti, sikap dan kejujuran dalam diri individu dalam pengurusan persatuan itu dituntut apabila mereka berada di dalam tampuk kepimpinan tertinggi persatuan. 

Mereka perlu bijak memikirkan perancangan dalam urus tadbir selain memikirkan bagaimana untuk mencari dana dalam memastikan perjalanan sesebuah organisasi itu sentiasa lancar. 

Cukup-cukuplah menjadikan bola sepak ini sebagai tapak dan medan politik semasa-mata.

Jujurlah pada diri sendiri sebagai seorang yang bertanggungjawab untuk memajukan bola sepak selain menjaga kebajikan pemain kerana dengan kejujuran itu pasti akan membantu industri bola sepak itu sendiri. 

Kepada orang bertanggungjawab dalam urus tadbir badan induk bola sepak negara juga, ubahlah minda dan bertegaslah dalam pelaksanaan demi kemajuan bola sepak. 
 

Advertisement

Must Watch Video