RENCANA
Pedrosa sah tinggalkan MotoGP tahun depan
Pelbagai spekulasi mewarnai hala tuju Dani Pedrosa untuk musim ini, ditambah apabila pasukannya, Honda membawa masuk pelumba Ducati, Jorge Lorenzo untuk bersama pasukan itu musim depan.
Akhirnya menjelang beberapa hari perlumbaan GP Jerman hujung minggu ini, Pedrosa mengumumkan bahawa ini adalah tahun terakhirnya dan tidak akan bersaing lagi di Motogp musim hadapan.
"Saya sudah memikirkan perkara ini cukup lama, dan ia satu keputusan yang berat kerana saya amat cintakan sukan ini".
Iklan
"Walaupun saya punyai banyak peluang bagus untuk berlumba, saya rasa perasaan saya berlumba kini tidak sehangat perasaan saya ketika mula ceburi sukan ini dan saya juga punyai keutamaan lain dalam hidup ketika ini", jelas Pedrosa.
Untuk satu ketika, Pedrosa pernah dikaitkan beralih ke pasukan baru, gabungan Sepang dan Yamaha, namun ternyata sangkaan itu meleset.
Pedrosa hadir ke Motogp pada 2006 dengan status sebagai juara dunia kategori 250cc selama dua tahun berturut, tambahan juara kategori 125cc pada 2003. Pedrosa berjaya menjadi pencabar kepada Valentino Rossi, Casey Stoner dan Jorge Lorenzo. Namun perkara yang paling sedih dalam karier pelumba yang berasal dari Sepanyol ini adalah, sepanjang 12 tahun dia beraksi di Motogp, dia tidak pernah mengecapi kejayaan sebagai juara dunia.
Dia nyaris lagi untuk merasa kemahsyuran itu, namun pada 2007, dia terpaksa berputih mata kepada Stoner, manakala 2010 dan 2012, dia dikecewakan oleh Lorenzo.
Pedrosa mungkin bukan seorang juara dunia, namun impak yang ditinggalkan pelumba berusia 32 tahun ini, gaya tunggangannya, perwatakannya di pit lumba dan legasi no 26 serta jolokan " Raja Luncur" (Slide King) itu akan sentiasa tersemat di hati peminat sukan permotoran dunia.
Must-Watch Video