Skip to main content

Rencana

Payet pemain derhaka dibenci penyokong West Ham

payet-makes-marseille-return-in-extra-time-win.jpg

Betapa meluatnya penyokong West Ham kepada Dimitri Payet kini hingga menyebut namanya saja diumpamakan dengan mencarut.

Berduyun-duyunlah mereka ke kedai cenderamata kelab London itu untuk menukar jersi nombor 27 Payet dengan jersi pemain lain -- dengan membayar tambahan £25 (lazimnya jersi replika berharga £70-80).

Anehnya, hanya semusim yang lalu, pemain antarabangsa Perancis itu adalah idola di Upton Park sebelum The Hammers berpindah ke Stadium Olimpik London sebagai gelanggang baru mereka.

Sikap Payet dalam memaksa perpindahannya ke Marseille -- dengan yuran £25 juta yang rata-rata dirasakan satu diskaun -- telah menyaksikan statusnya bertukar daripada pemain sanjungan kepada pemain celaan dalam tempoh yang singkat.

Lazimnya, apabila seorang pemain bintang yang banyak berjasa kepada pasukan berpindah, dia diraikan dalam majlis perpisahan yang menjadi memori sepanjang hayat.

Namun, tidak buat Payet yang membuat perangai dari awal musim ini lagi dengan tujuan untuk dilepaskan kembali ke Marseille.

Kenyataan rasmi West Ham berbunyi: “Kelab ini ingin merakamkan kekecewaan besarnya bahawa Dimitri Payet tidak menunjukkan rasa hormat dan komitmen yang sama kepada West Ham, sebagaimana ditunjukkan kelab dan penyokong kepadanya, khususnya apabila ia menghadiahkannya kontrak baru lima tahun yang lumayan hanya pada tahun lalu.”

Ia satu kenyataan amat bersopan dan terkawal jika dibandingkan dengan bagaimana penyokong West Ham mengucapkan salam perpisahan mereka kepada Payet menerusi Twitter.

Malah, penyokong bertambah berang dengan komen-komen keras melalui media sosial apabila pemain berusia 29 tahun itu mengirim sekeping foto melalui Twitter yang menunjukkan dia menaiki sebuat jet peribadi ke Perancis untuk memuktamadkan perpindahannya.

Ia kemudian didedahkan oleh kelab London itu bagaimana Payet enggan bercakap dengan rakan-rakan sepasukannya di West Ham selama lapan minggu dan enggan menyertai pemain lain untuk makan bersama-sama demi merancang pelepasannya.

“Saya fikir untuk enam hingga lapan minggu terakhir, dia enggan bercakap dengan sesiapa dalam pasukan,” kata pengerusi bersama West Ham, David Sullivan. “Dia menyendiri di satu sudut untuk menikmati makanannya.

“Sebelum ini, dia seorang periang dan sentiasa berjabat tangan dengan semua pemain sebelum sesuatu perlawanan.

“Sama ada ia satu taktik atau sesuatu dalam kepalanya sudah berubah. Seluruh pasukan mahukan dia keluar. Pengurus juga mahukan dia keluar. Sekalipun kami enggan melepaskannya, kami tidak boleh membelakangkan pasukan,” tambahnya.

Sullivan turut mendedahkan Payet memulangkan gajinya di antara £400,000 dan £500,000 bagi bulan Januari.

“Marseille adalah sebuah pasukan yang sukar untuk berunding. Mereka bernasib baik kami menerima tawaran £25 juta itu sedangkan pemain itu bernilai sekali ganda daripada itu.”

West Ham membayar Marseille £10.7 juta ketika mula mendapatkan Payet pada 2015 dan pemain itu telah pun menandatangani kontrak baru lima setengah tahun pada Februari 2016.

Dia cemerlang dalam musim pertamanya dalam Liga Perdana, dengan menjaringkan 12 gol dan turut mendapat pencalonan untuk anugerah Pemain Terbaik Tahunan, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA).

Namun, dari September hingga Disember tahun lalu, dia hanya menyumbat tiga gol -- mendorong pengurus, Slaven Bilic, mendedahkan awal bulan lalu yang Payet enggan lagi bermain untuk kelab itu.

“Dia sudah pun pergi,” kata Bilic, “Tapi saya tidak akan dapat melupakan betapa bagusnya dia. Selamat berjaya kepada Payet dengan pasukan barunya.”

Penyokong West Ham, bagaimanapun, enggan terlalu memaafkannya.

Advertisement

Must Watch Video