Banyak berita gembira tentang pemain-pemain bola sepak negara kebelakangan ini.
Tatkala berita Luqman Hakim ke Belgium masih hangat diperkatakan, tiba giliran Safawi Rasid pula diintai kelab Portugal, Portimonense FC. Ini semua satu perkembangan baik untuk bola sepak Malaysia. Saya tumpang gembira dengan kejayaan, dan juga kemurahan rezeki yang bakal mereka nikmati. Sudah tentu ini titik permulaan kepada sebuah kehidupan yang lebih indah buat kedua-dua pemain dan keluarga mereka.
Advertisement
Tetapi saya murung apabila di tanah air sendiri, kisah yang sama tidak dapat digambarkan menerusi apa yang berlaku kepada pasukan Kedah.
Isu gaji Kedah: Situasi paling memalukan, kata Azraai
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) July 30, 2020
Terus terang, saya tak pasti sampai bila isu gaji ini akan membelenggu bola sepak Malaysia.
Bila saya lihat isu yang melanda Kedah dan pasukan-pasukan yang lain, timbul dua rasa: sedih dan muak. Sedih, mengenangkan nasib rakan-rakan seperjuangan diperlakukan sebegini rupa. Muak, dengan senario yang serupa asyik berulang. Manusia sudah berulang kali ke angkasa, tetapi kita masih melayani masalah lapuk ini.
Saya akui, ada yang datang berkongsi masalah dan kekecewaan mereka. Biarpun hakikatnya, mereka boleh terus membuat aduan kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sebaik sahaja tiga bulan gaji tertunggak, daripada dibiarkan berlarutan ke lima bulan.
Lima bulan? Kalau mengandung, dah trimester kedua!
Saya faham, usaha untuk membuat aduan awal ini adalah atas dasar hormat terhadap beberapa tonggak senior dalam pasukan yang enggan membuat perkara yang sama, dek kerana hendak menjaga imej majikan dan tidak mahu digelar rebel jika lantang bersuara. Tetapi, tidakkah ini akan mengganggu keharmonian pasukan, dan secara tidak langsung menjejaskan prestasi dalam perlawanan? Bukankah itu tindakan yang selfish?
Aidil Sharin Sahak dedah keadaan makin sukar buat kem Kedah, harap mesyuarat pertama Presiden dengan KFA pada 3 Ogos ada penyelesaian. Kalau tak ..... @ASTROARENA pic.twitter.com/wnX9ZDStkl
— FinaNasrom (@fnasrom) August 2, 2020
Bayangkan, salah seorang pemain Kedah yang terkesan dengan isu ini, baru sahaja mendapat cahaya mata baru, dan terpaksa meminta bantuan kewangan daripada saudara mara dan rakan-rakan gara-gara gaji tertunggak. Kalau tidak ada kasihan pada pemain ini pun, kasihanlah pada anak-anak beliau. Anak kecil, yang baru lahir.
Ini bukan soal wang atau harta. Ini soal kemanusiaan.
Pemain bola sepak juga manusia, dan dalam sukan ini, profesion atlet adalah satu perjudian. Setiap langkah yang diambil adalah satu lemparan dadu dalam pertaruhan yang amat tinggi. Bakat dan kudrat adalah modal dan aset, dan konsistensi dalam persembahan di atas padang adalah kunci meraih pulangan yang lumayan.
Tetapi tiada jalan singkat untuk mencapai semua ini. Di sini saya dedahkan, kebiasaannya seseorang pemain akan ditawarkan gaji sebanyak RM3,000 sebulan dengan pasukan pertamanya. Bila berhijrah buat kali pertama, gaji akan naik ke lingkungan RM 6,000 dan kemudian sekiranya persembahan mantap serta konsisten, ditambah dengan panggilan ke dalam skuad senior kebangsaan, angka tersebut mampu naik ke lima angka, mencecah puluhan ribu ringgit.
Akaun bank mengembang, mata jadi rambang, jangan akhirnya jadi jembalang!
Saya selalu ingatkan pemain muda terutamanya, yang gaji sebagai pemain bukan terus mewah sebaik bergelar pemain profesional. Kena kerja keras, dedikasi. Tetapi, bila sudah berada di kemuncak prestasi perlulah beringat sedikit, lakukan pelaburan bijak untuk jangka panjang sebagai bekalan apabila tiba waktunya menggantung but. Ketika muda lah masanya untuk buat keputusan-keputusan yang bijak dan perancangan yang tersusun. Lupakan sahaja angan kereta besar, percutian mewah dan perkara-perkara lain yang melalaikan. Fokus kehidupan, dan untungnya diraih kemudian.
Ingat, ada 3 perkara yang boleh menjatuhkan negara dan rakyatnya…tak perlu saya habiskan ayat ini. Rasanya semua orang tahu jawapannya.
Mohamadou Sumareh difahamkan sudah menamatkan kontrak bersama Pahang. Keputusannya angkat kaki berdasarkan Klausa 8.7 yang terkandung dalam kontrak pemain bola sepak.
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) August 31, 2020
Klausa 8.7 aktif selepas pemain tidak menerima gajinya lebih daripada 1 kali. @ASTROARENA
Keputusan bijak yang saya maksudkan juga merangkumi hal-hal berkaitan kontrak. Jika dilihat isu double contract yang membelenggu sesetengah pasukan, ini sebenarnya berbalik kepada pemahaman mengenai perkara ini.
Mungkin ramai yang kurang arif mengenai terma double contract. Kebiasaannya, terdapat sesetengah pasukan apabila berunding dengan pemain,mereka mencapai kata sepakat mengenai pakej gaji. Contohnya, seorang pemain bersetuju dengan tawaran gaji sebanyak RM 50,000 oleh sesebuah pasukan.
Tetapi, pasukan ini kemudiannya menyediakan dua kontrak berbeza: Satu, kontrak yang hanya berjumlah RM20,000, di mana salinannya turut diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Satu lagi, kontrak yang berjumlah RM30,000 sebulan, tidak dihantar ke badan induk tersebut, dan hanya antara pihak pemain dan pasukan.
Ini taktik sebenarnya — taktik yang membolehkan pemain mengelak daripada membayar cukai yang tinggi kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Namun, tanpa disedari, taktik ini mampu memakan diri apabila tiba senario pengurusan pasukan mengalami masalah kewangan dan tidak mampu untuk membayar pemain. Pemain akan berhadapan dengan masalah, hanya kontrak jumlah RM20,000 yang boleh dituntut kerana ada buktinya dengan FAM. Manakala, kontrak yang berjumlah RM30,000….?
Black Dog Bone pernah berdendang; Harapan Setinggi Gunung…Berderai menjadi debu….
Bagi saya, pemain seharusnya tidak bersetuju dengan kaedah pembayaran double contract ini dan saya sendiri tidak pernah mengikat perjanjian kontrak dengan kaedah ini selama saya bermain. Saya enggan memasang jerat yang akan memakan diri sendiri. Malah, saya lihat PFAM juga giat berusaha dalam menangani isu ini menerusi sesi taklimat berkaitan kontrak kepada pemain dari setiap pasukan dalam saingan Liga M, sama ada pasukan Liga Super mahupun Perdana. Kerana itu jugalah, saya kurang bersetuju dengan adanya had siling gaji pemain. Percayalah jika saya katakan, siling gaji hanya akan membiakkan amalan double contract ini, dan seterusnya kerugian akan terus ditanggung oleh para pemain.
Bijak atas padang, satu hal. Luar padang pun kena bijak, brothers.
Secepat mana naiknya sesuatu nama itu, sepantas itu jugalah ia akan menyusut. Hayat karier pemain bola sepak ini akan mula menurun selepas mencecah usia pertengahan 30-an. Bagi yang mempunyai perancangan ke bidang kejurulatihan, ini adalah masa mereka berkira-kira untuk mengambil lesen B atau C, bagi memudahkan mereka untuk terus mendapat kerja sekurang-kurangnya sebagai penolong jurulatih sebaik bersara. Ada juga pemain yang tidak menceburi perniagaan tetapi membuat pelaburan seperti membeli rumah serta mempunyai simpanan wang yang cukup selesa menjelang detik persaraan.
Tetapi, kepada yang terleka dan terpesona, pengakhirannya adalah suatu bencana yang hanya menanti masa. Bila sampai waktunya, hanya diri sendiri yang boleh dipersalahkan.
Bak kata Deanna Yusoff, dalam filem Ringgit Kasorrga - Siapa yang malu? Mereka dan keluarga mereka!
Ok, saya tahu rujukan lama. Tetapi faham kan maksud saya?
Saya sedih bila menyaksikan pendedahan bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus mengenai kepayahan mengharungi kehidupan harian selepas tidak lagi bergelar pemain. Apa perasaan anda, jika melihat seorang yang anda kenali dan kagumi, meluahkan masalah yang menimpa diri dan kelaurganya?
Sedih bukan?
Realitinya, inilah yang dihadapi ramai pemain apabila bersara. Namun, jika dilihat secara positif, pendedahan Khalid itu boleh dijadikan iktibar buat pemain-pemain muda hari ini untuk bijak menguruskan kewangan mereka dan sentiasa beringat untuk hari tua.
Perbincangan sedang berlangsung di antara Khalid Jamlus, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayshal Wan Kamal dan Presiden YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abd Majid.@ASTROARENA pic.twitter.com/rHvBLnk5ns
— FinaNasrom (@fnasrom) July 8, 2020
Saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk membuat beberapa keputusan yang dapat membantu saya, usai karier saya sebagai pemain. Pembabitan saya dalam pelaburan, perniagaan bersama rakan-rakan kongsi yang tidak lokek memberi tunjuk ajar kepada saya dalam selok-belok menjalankan perniagaan . Sekurang-kurangnya saya tahu, berbaloilah wang simpanan saya selama bergelar pemain dengan pelaburan yang saya buat untuk perniagaan ini. Walaupun tidak besar mana pun syarikat yang saya usahakan ini, tetapi prospeknya ada.
I am a lucky man. And I am grateful for that.
Saya boleh sifatkan karier sebagai pemain bola sepak ini sebagai pekerjaan berisiko tinggi. Ya, mungkin nampak mewah dari luaran. Ada masanya, gaji yang diperoleh, lebih dari graduan universiti.
Oh, bercakap tentang Universiti, izinkan saya mengalu-alukan langkah PFAM dalam mengadakan pertemuan dengan pihak universiti seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) baru-baru ini sebagai satu pendekatan positif, bagi merangka kaedah terbaik dalam menggalakkan ahli-ahli mereka untuk melanjutkan pelajaran. Jika ada ijazah atau sekurang-kurangnya diploma, itu ibarat satu backup plan yang baik sekiranya berlaku sesuatu yang membataskan karier seseorang pemain.
? | PFAM menerima kunjungan daripada delegasi Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM yang diketuai oleh Dekan FSR, Prof Madya Dr Mohad Anizu di pejabat PFA Malaysia hari ini.#PFAMalaysia #SupportingThePlayers #BuildingTheGame pic.twitter.com/DvBaBJcvAs
— PFA Malaysia ?? (@pfamalaysia) August 5, 2020
Kerana risiko yang saya katakan tadi, akan muncul apabila diambil kira faktor kecederaan yang mampu menjejaskan karier seseorang pemain, malah, menamatkan terus kerjaya. Tempoh hayat karier pemain bola sepak ini tidak lama, menerusi pengalaman saya. 15 tahun, sudah dikira lama. Jadi, jika ada backup plan sepeti pendidikan dan sebagainya, sudah tentu akan dapat menjamin masa depan seseorang pemain itu.
Jadi bagi Luqman dan Pawi, peluang yang datang ini harus dimanfaatkan secukupnya. Bukan sahaja untuk kemakmuran karier, malah sebagai modal untuk merangka masa depan yang lebih besar, merentasi garisan padang di mana kaki itu berlari dan melangkah.
Tentang isu gaji pasukan Kedah, saya hanya mampu menyusun jari ini untuk doa di angkat kepada Yang Maha Esa, agar segera diselesaikan, demi rakan-rakan seperjuangan saya. Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) merangkap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor juga sudah memberi jaminan untuk melunaskan gaji tertunggak pemain dalam masa terdekat. Jadi, mungkin lebih molek, jika semua berharap dan bersangka yang baik-baik sahaja untuk bola sepak Kedah, dan juga bola sepak Malaysia umumnya.
Cukuplah lagu Black Dog Bone berdendang hanya sekali. Jangan pula ditambah dendangan kumpulan KRU; Janji Tinggal Janji….
Masih aktif dalam bola sepak, Talisman Asrar berpengalaman di peringkat liga dan antarabangsa, dan kadangkala mempunyai peranan besar sebagai pengkritik kerusi malas.