Skip to main content

Rencana

Pavard buktikan lebih bernilai di bek tengah

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

pavard-cover-pic.jpeg
Apabila berbicara tentang pemain pasukan kebangsaan Perancis, nama yang pastinya serta-merta muncul di minda adalah Kylian Mbappe selaku salah seorang pemain terbaik dunia ketika ini.

Ada ramai juga pemain lain yang mungkin disebutkan kerana skuad Perancis sememangnya sarat pemain berstatus bintang, misalnya Antoine Griezmann dari Atletico Madrid, Olivier Giroud dari AC Milan dan Aurelien Tchouameni dari Real Madrid.

Namun, dalam aksi persahabatan menentang Scotland semalam, pemain yang mencuri perhatian ramai serta dinobatkan sebagai ‘man of the match’ muncul dari pertahanan tengah – Benjamin Pavard.

Kisah Pavard merupakan sesuatu yang cukup menarik dan berkisarkan keazaman, kedegilan serta kepercayaan terhadap kemampuan sendiri.

Bagi yang berkesempatan menonton aksi Piala Dunia 2018, khususnya perlawanan pusingan 16 di antara Perancis dan Argentina, gol yang dijaringkan oleh Pavard yang baru berusia 22 tahun ketika itu semestinya sukar untuk dilupakan.

Dimulakan oleh hantaran silang Lucas Hernandez dari sebelah kiri padang, bola melencong ke sudut yang gagal dihalang oleh mana-mana pemain pertahanan Argentina lalu jatuh tepat ke kaki Pavard yang menanti di bahagian sayap kanan.

Pavard melepaskan sepakan voli yang berputar dengan cukup cantik ke sudut kiri gawang Argentina dan ia sememangnya hampir mustahil untuk dihalang oleh mana-mana penjaga gol sekalipun.

Gol itu juga dinobatkan sebagai gol paling cantik dalam pertandingan tersebut.

Di sebalik persembahan cemerlang Pavard dalam membantu Perancis menjuarai pertandingan itu, ramai yang tidak tahu bahawa dia tidak menggalas tanggungjawab sebagai bek kanan dengan rela hati.



Menurut laporan The Guardian, dia paling selesa beraksi selaku bek tengah dan hanya menerima peranan bek kanan demi membolehkan dirinya tersenarai dalam kesebelasan utama.

Dari dahulu hingga kini, posisi pertahanan tengah Perancis dipenuhi terlalu ramai pemain berkaliber, antaranya William Saliba, Ibrahima Konate, Dayot Upamecano dan Raphael Varane, menjadikan pengurus pasukan kebangsaan, Didier Deschamps, keberatan untuk membenarkan Pavard beraksi di posisi itu.

Piala Dunia 2022 pula menyaksikan Pavard beraksi dalam satu perlawanan sahaja, iaitu aksi pembukaan Perancis menentang Australia.

Laporan pelbagai sumber media mengatakan Pavard meluahkan rasa tidak puas hatinya untuk terus beraksi di bek kanan dan dia sudah menanti terlalu lama untuk posisi bek tengah, namun bantahannya tidak diendahkan Deschamps.

Sungutannya diluahkan menerusi aksi kurang memberangsangkan dalam perlawanan itu, memaksa Deschamps untuk menggantikannya dengan Jules Kounde dan mengakibatkan Pavard tidak beraksi walau seminit lagi sepanjang pertandingan tersebut.

Drama serupa kemudian berlanjutan di peringkat kelab, di mana Pavard berkeras menuntut untuk dilepaskan daripada pasukannya, Bayern Munich, kerana sudah enggan beraksi di bahagian kanan dan mahu menyertai Inter Milan yang menginginkan khidmatnya dalam memperkukuhkan formasi 3-5-2 yang bakal mereka praktikkan.

Hajat Pavard akhirnya tercapai setelah Inter menyempurnakan pembeliannya pada penghujung Ogos lalu, dan pada ketika ini Inter mencatatkan rekod pertahanan terbaik dalam Serie A, dengan hanya dibolosi lima gol dalam lapan perlawanan.

Berbalik kepada aksi Perancis menentang Scotland, disebabkan kecederaan yang melanda pemain-pemain penting seperti Kounde, Saliba dan Upamecano, Pavard akhirnya diberikan peluang untuk beraksi di bahagian pertahanan tengah.

Penantian itu dibalas dengan dua gol tandukan, pertama dari sepakan sudut manakala yang kedua dari larian ‘overlap’ yang membuatkan Pavard kelihatan lebih mirip seorang penyerang daripada pemain pertahanan.

Satu-satunya gol yang membolosi Perancis adalah akibat hantaran cuai Eduardo Camavinga yang menghadiahkan peluang keemasan buat Scotland, sedangkan barisan pertahanan dikawal dengan cukup ketat sekali oleh Pavard dan pasangannya, Konate.

Ia masih belum pasti sama ada Pavard akan dapat mengekalkan posisi idaman itu sekembalinya pemain-pemain penting lain tetapi apa yang pasti adalah dia telah membuktikan bahawa dia tahu apa yang terbaik untuk dirinya dan hanya meminta peluang untuk terus menunjukkan kemampuan di bahagian yang membuatnya gembira.

Advertisement

Must Watch Video