Skip to main content

Rencana

Pasukan EPL buka langkah

epl-manager-130617_1.jpg
Terdetik di hati penulis untuk menguis tentang beberapa pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengolah perihal jendela perpindahan beberapa hari lepas. 

Tatkala semua pasukan sibuk bertanyakan tentang status pemain, ada juga pencabar EPL yang sudah mula menyiarkan gambar pemain baru bersama jersi mereka. 

Manchester City dan Arsenal adalah antara yang terawal membuktikan bahawa mereka serius dalam menyekat kemaraan Chelsea untuk mempertahankan trofi liga pada musim depan. 

City berjaya mendapatkan pemain dari Portugal, Bernardo Silva, serta penjaga gol, Ederson Moraes, dari Benfica.

The Gunners mengesahkan perpindahan pertama pada minggu lalu apabila menandatangani pertahanan kelahiran Bosnia & Herzegovina, Sead Kolosinac, dari Schalke 04. 

Jelas sekali, Arsene Wenger bertindak bijak kerana Kolosinac adalah pemain yang tersenarai dalam skuad terbaik Bundesliga musim 2016/17 dan Wenger mendapatkannya melalui perpindahan percuma.

Dalam masa sama, Pep Guardiola membuktikan dia serius untuk meraih kejuaraan pertama di England melalui dua perpindahan dalam masa dua minggu. 



Apa yang menarik, kedatangan Ederson ke Etihad pastinya menunjukkan jalan keluar buat penjaga gol England, Joe Hart, yang dipinjamkan ke Torino sebelum ini.

Bagaimana dengan Liverpool?

Kontroversi melibatkan The Kop dan pertahanan Southampton, Virgil Van Dijk, menjadi antara tajuk utama di setiap sudut media. 

Kenyataan media Liverpool yang memohon maaf kepada The Saints wajar dipuji walaupun secara tidak sengaja menyebabkan nilai Van Dijk meningkat sehingga GBP70 juta.

Seperti dijangka, Jurgen Klopp memilih untuk memiliki pemain muda yang meningkat naik pada nilai murah berbanding mendapatkan pemain berstatus bintang dengan harga yang mahal.

 Itu dibuktikan melalui perpindahan pemenang Piala Dunia Bawah 20 Tahun, Dominic Solanke, dari Chelsea. Solanke ke Anfield dengan harga hanya GBP3 juta.

Bagi penulis, Klopp perlu memandang ke posisi pertahanan kiri selepas bergantung kepada pemain veteran, James Milner, hampir sepanjang musim lalu. 

Liverpool memerlukan pemain yang sempurna di posisi tersebut kerana di bangku simpanan, Alberto Moreno tampak gagal mempamerkan aksi seperti diharapkan apabila turun beraksi.

Di Stamford Bridge, Antonio Conte mencuri tumpuan apabila memberitahu Diego Costa bahawa dia tidak memerlukan penyerang Sepanyol itu pada musim depan melalui pesanan Whatsapp, sekaligus menguatkan spekulasi bahawa Conte akan mendapatkan Romelu Lukaku dari Everton yang dianggarkan bernilai GBP100 juta. Berbaloi atau tidak, peminat The Blues pasti ada jawapannya.

Mauricio Pochettino bakal memasuki musim keempatnya mengendalikan Tottenham Hotspurs di mana dia melalui tiga tahun yang membanggakan. 



Dua kali bergelar naib juara serta menduduki tangga ketiga liga pada musim 2015/16, bekas pertahanan Argentina itu pastinya mahu menamatkan saingan 2017/18 dengan bergelar juara EPL buat pertama kali selepas kali terakhir menjuarai Liga Inggeris pada tahun 1961 (ketika itu dikenali sebagai Divisyen Satu).

Pochettino, yang bertanggungjawab membawa masuk Dele Alli dari MK Dons pada tahun 2015, dilihat cuba mendapatkan pemain berusia 17 tahun, Ryan Sessegnon dari Fulham serta pertahanan Ajax, Joel Veltman. Sama-sama kita nantikan.

Di Old Trafford, laman web rasmi Manchester United mengesahkan perpindahan pertahanan Sweden, Victor Lindelof, dari Benfica dengan nilai GBP31 juta selain membuat keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak penyerang, Zlatan Ibrahimvoic.

Pemergian Ibrahimovic menimbulkan desas-desus United bakal mendapatkan penyerang baru akan menjadi realiti dengan nama penjaring terbanyak Serie A, Andrea Belotti, serta penyerang Real Madrid, Alvaro Morata, dikaitkan bakal menyertai skuad bimbingan Jose Mourinho.

Secara matematik, pasukan EPL sentiasa terkenal dengan kesibukan ketika jendela perpindahan dibuka disebabkan kemewahan kewangan yang dimilikinya. 

Tatkala masa bakal menjengah pertengahan Jun, pastinya berita perpindahan pemain akan menjadi lebih menarik memandangkan setiap pasukan mempunyai masa selama dua bulan lagi untuk mempertajamkan skuad masing-masing.

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video