Skip to main content

Rencana

Pahang ulangi kesudahan 1992?

rizal-hashim.jpg
APABILA saingan separuh akhir Piala FA membabitkan dua pasukan Liga Super – Kedah dan Pahang, serta dua wakil Liga Perdana – Negeri Sembilan dan Terengganu, naluri penulis cenderung kepada pertemuan semula final Piala Malaysia 1992.

Final di Stadium Merdeka 25 tahun lalu itu tidak mungkin dapat penulis lupakan.

Itu adalah final pertama penulis sebagai wartawan. itupun bukan untuk akhbar utama Berita Harian tetapi buat sisipan Jaguh.

Tanpa tekanan untuk membuat laporan sesudah perlawanan untuk dikirimkan ke pejabat, penulis meronda satu stadium untuk menyerap suasana final.

Sebagai wartawan hingusan, final yang membabitkan bintang-bintang seperti Fandi Ahmad, Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh di Pahang serta Azmi Mahmud, Lee Kin Hong, Radhi Mat Din dan Peter Nieketien di Kedah satu impian yang bertukar realiti.

Tidak sampai dua minit, layar markah di Stadium Merdeka menunjukkan Pahang 1 Kedah 0.

Bermula dengan Piala Sumbangsih, Pahang merangkul gelaran Bahagian Satu, Piala Fair Play Bahagian Satu dan melengkapkan musim gemilang buat Pasukan Impian bimbingan Mike Brown, satu ketika penolong Ron Atkinson di Manchester United.

Jaringan tunggal dicatat Zulhamizan Zakaria dalam situasi yang amat pelik.

Alan Davidson melambungkan bola dari kawasannya sendiri dan sekalipun benteng Kedah yang diterajui Lee Kin Hong tersilap memasang perangkap ofsaid, situasi seolah-olah dalam kawalan Azmi Mahmud yang meluru menyambut bola.

Namun, seluruh stadium terkejut apabila Azmi melompat tetapi terlepas bola lalu membuka ruang luas buat Zulhamizan menolak bola ke gawang ketika perlawanan berusia 108 saat!

Zulhamizan yang bertindak selaku flanker kiri, dipilih pemain terbaik perlawanan, sedangkan undian wartawan yang membuat liputan jatuh kepada Davidson.

Kesudahannya barangkali sudah dijangka berkat doa penyokong Pahang dan khususnya Ahmad Yusof yang mengimamkan solat Maghrib beberapa minit sebelum sesi memanas badan di surau dalam Stadium Merdeka, terletak di sebelah kiri jika anda masuk dari pintu utama.

Selepas saingan, penulis turun ke trek dan melihat dengan dekat kekecewaan Kedah sambil Pahang meraikan kejuaraan kedua selepas sembilan tahun.
Wiranya pula Zulhamizan yang kebetulan turut beratur menyambut wira-wira 1983 di tepi jalan di Kuantan.


Bapa bola sepak Kedah, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil, kecewa, menyandarkan tubuhnya di pagar rendah putih di belakang bangku Kedah sambil melayan soalan wartawan.
Itu kisah lama.

Untuk final Piala FA 2017, Kedah dianggap pasukan pilihan dengan barisan tengah berteraskan kreativiti Liridon Krasniqi, Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon dan Sandro da Silva.

Pahang pula harus menyandarkan harapan kepada kombinasi penjuru kanan Mamadou Sumareh dan Matthew Davies, Wan Zaharulnizam Zakaria di penjuru kiri, Matheus Alves di hujung tombak, Ahmad Syamim Yahya di tengah dan sama ada Kiko Insa dapat mengunci pergerakan Krasniqi atau mesra digelar Mat Don.
 
Naluri penulis berat ke arah Pahang mengulangi nikmat kemenangan 1992.


 

Advertisement

Must Watch Video