Skip to main content

Rencana

Oops nanti dulu Barca… belum ada apa-apa dimenangi

“Selamat pagi penyokong Barca sekalian! Tidak, anda tidak bermimpi – ia benar-benar terjadi!” kata satu tweet Barcelona FC pagi kelmarin.

Pemain-pemain Barcelona bangun tidur pada pagi Khamis dengan disajikan tajuk utama akhbar-akhbar yang menyanjung kebangkitan dramatik mereka pada malam sebelumnya – menerbalikkan keputusan 0-4 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara untuk menang 6-1 dan mara ke suku akhir dengan agregat 6-5.

Betapa ia mengkhayal dan mengasyikkan untuk mencipta satu sejarah kebangkitan yang tidak pernah disaksikan dalam sejarah Liga Juara-Juara sebelumnya.

Dalam pada itu, sesampainya pemain-pemain ke padang latihan untuk mereka bermula sekali lagi bagi menghadapi Deportivo La Coruna dalam LaLiga di tempat lawan Ahad ini, realitinya segera meresapi bahawa di sebalik segala keriuhan pada malam sebelumnya, mereka belum menang apa-apa.

Selain itu, mereka masih ada satu final Copa del Rey berdepan Deportivo Alavés untuk dihadapi, pertemuan El Clasico yang menanti dan pastinya, suku akhir Liga Juara-Juara.

Mereka segera tersentak bahawa mereka sebenarnya baru sekadar melepasi satu lagi halangan sedangkan trofi Liga Juara-Juara masih tersimpan rapi dalam kabinet trofi musuh ketat, Real Madrid.

Pengurus tersohor pada waktu ini, Luis Enrique, sekalipun belum berani mengatakan bahawa Barca akan unggul sehingga ke penghujung selepas mengirim pulang PSG.

Jika ada apa-apa pun, Barcelona sekadar baru mengesahkan kemaraan dengan cara yang paling sukar sedangkan saingan baru hendak memasuki gerbang suku akhir – perjalanan yang masih panjang buat juara Eropah lima kali itu.

Sesetengah pihak mengandaikan ia cuma satu “permainan minda” oleh Enrique, dengan pengumumannya untuk melepaskan jawatan pengurus Barca pada akhir musim ini, adalah suntikan yang memuncakkan semangat melawan pemain-pemainnya ketika membenam PSG – dengan bantuan sedikit tuah dan kesilapan pengadil.

Kini, giliran pasukan-pasukan pesaing pula untuk mengenakan permainan minda ke atas mereka.

"Selepas segala apa yang berlaku, adalah normal untuk Barcelona kini diangkat sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Juara-Juara seiring dengan Bayern Munich dan Real Madrid,” kata pengurus Juventus, Massimiliano Allegri, yang pasukannya sendiri akan berdepan Porto di Turin, Selasa ini, dengan kelebihan 2-0.

Allegri menambah bahawa kemaraan menakjubkan Barcelona ke suku akhir Liga Juara-Juara adalah satu khabar buruk buat pesaing lain yang mengidam untuk merebut kejuaraan.

Selain Barcelona, Borussia Dortmund, Real Madrid dan Bayern Munich yang sudah mengesahkan kemaraan, mereka akan disertai empat pasukan lagi yang akan diputuskan daripada pertemuan kedua pusingan 16 di antara Sevilla- Leicester City (2-1) dan Porto-Juventus (0-2) pada 14 Mac dan Manchester City-Monaco (5-3) dan Bayer Leverkusen- Atletico Madrid (2-4) pada 15 Mac ini.

Selesai saja senarai lapan pasukan ke suku akhir dilengkapkan, undian pusingan akhir akan dilangsungkan pada 17 Mac di ibu pejabat UEFA di Nyon, Switzerland.

Undian suku akhir adalah terbuka dan tiada pasukan pilihan. Mana-mana pasukan boleh bertemu sesama sendiri – termasuk dari negara yang sama – dengan perlawanan akan berlangsung pada 11/12 April dan 18/19 April. Separuh akhir ialah pada 2/3 Mei dan 9/10 Mei. Final akan berlangsung di Stadium Millennium, Cardiff pada 3 Jun.

Harus kini terngiang-ngiang kembali sindiran ketua pasukan Real Madrid, Sergio Ramos: “Saya akan lebih gembira jika Barcelona tersingkir. Saya akan tidur lebih lena.”

Barangkali banyak Xanax yang perlu ditelan Ramos untuk memudahkan tidurnya bermula malam Rabu lalu.

Jawapan terbaik buatnya datang daripada Luis Enrique: “Jika sebuah pasukan membolosi kami empat kali, maka kami boleh membolosi mereka enam kali.”

Ia bukan omong kosong kerana Barca sudah pun melakukannya malam Rabu lalu yang ditonton di seluruh dunia.

Namun, segala keriuhan dan keasyikan menyingkirkan PSG tidak akan memberi banyak makna andainya trofi Liga Juara-Juara menjadi milik pasukan lain.

Tambahan pula, di sebalik Los Blancos telah menjulang trofi Piala Eropah/Liga Juara-Juara sebanyak 11 kali, tiada pasukan yang mampu memenangi kejuaraan berturut-turut dalam formatnya kini.

“Kami adalah Barca, kami berbeza daripada yang lain-lain,” kata satu lagi tweet Barcelona FC.

Advertisement

Must Watch Video