Skip to main content

Rencana

‘An Officer and a Gentleman’: Sathia saingi Durakovic

satianathan-v-durakovic.jpg
An Officer and a Gentleman mungkin tajuk filem Hollywood popular terbitan 1982, namun plotnya berbeza di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam ini.

Ia istimewa kerana status “pertama” bagi kedua-dua jurulatihnya -- B. Sathianathan di pihak Felda United dan Mehmet Durakovic selaku pengendali Perak.

Keadaan yang membawa kepada pelantikan masing-masing, turut menambah drama kepada pertemuan Liga Super ini yang tiada antara mereka sebenarnya mampu kalah.

Sathianathan, bekas jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), mengharungi detik perit direhatkan oleh majikannya pada 14 April 2015, selepas pasukannya cuma menang satu daripada tujuh perlawanan mereka.

Di sebalik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengarahkan ATM mengembalikan statusnya selaku jurulatih pada Julai tahun yang sama, Sathia tidak pernah mengendalikan sebarang pasukan lagi sehinggalah Felda United tampil dengan lamaran sesudah jurulatih asalnya, Azmi Mohamed, mengundurkan diri secara sukarela.

Sathia – seorang yang dikenali tegas dalam soal disiplin dan tempohnya bersama ATM harus menggilap lagi aspek itu -- ditampilkan selaku ‘penyelamat’ pada detik yang tidak mungkin lebih mencemaskan buat Felda United dengan hanya menang satu dan seri satu daripada lima perlawanan untuk terperosok di tangga kedua tercorot kini.

Pada hujung carta yang berlawanan pula, Perak hanya keciciran empat mata daripada lima perlawanan untuk bermegah di tangga ketiga – sama himpunan 10 mata dengan Pahang di tangga kedua dan berjarak hanya satu mata dengan Kedah yang menjadi penghulu liga.

Kejayaan meleburkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam 25 perlawanan liga di Stadium Perak, Sabtu lalu, anehnya menyaksikan terlerainya ikatan dengan jurulatih legenda The Bos Gaurus, Karl-Heinz Weigang, untuk permaidani merah dihamparkan buat Durakovic.

Mehmet, jurulatih yang mengemudi Selangor menyempurnakan ‘Misi 33’ dengan menjuarai Piala Malaysia semula selepas 10 tahun pada 2015, harus amat arif dengan politik bola sepak Malaysia apabila kontraknya tidak dilanjutkan pada musim berikutnya.

Menepati resminya selaku seorang ‘gentleman’, Mehmet menerima keputusan itu sebagai sebahagian “sepak terajang” bola sepak profesional dan tidak terpekik-terlolong seperti kebanyakan jurulatih lain di tempatnya.

Namun, sama ada sudah rezekinya atau sekadar “menyerahkan tengkuk”, kedatangannya ke Ipoh berlatarbelakangkan kemarahan penyokong terhadap pengurusan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) yang dikatakan tunduk kepada ‘pemberontakan pemain’ untuk merelakan ‘Atuk Weigang’ mereka berkemas pulang.

Jika dijengah komen-komen penyokong The Bos Gaurus dalam media sosial, harus boleh disimpulkan yang mereka tidak akan mudah memaafkan andainya Durakovic gagal meneruskan rentetan kecemerlangan pasukan – bermula dengan kunjungan ke Jengka.

PAFA dan presidennya, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, barangkali boleh ‘menjahit’ mulut jurulatih dan pemain-pemainnya daripada bersuara tapi tidak mungkin mampu menekup mulut penyokong Perak dalam meluahkan reaksi dan pandangan mereka.

Kepada pemain-pemain Perak yang kini digerami, penyokong turut berpesan agar jangan hanya pandai berkomplot mengadu-domba dalam menggulingkan jurulatih melainkan mereka mengiringinya dengan persembahan bersemangat dalam perlawanan. 

Ia menjanjikan jalan cerita yang menarik dalam drama di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam ini.

Advertisement

Must Watch Video