Skip to main content

Rencana

Nantikan semangat 'kami luar biasa' di Rio

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

paralimpik66b8f8083d81604aa734ff0000212b38.jpg
Temasya Sukan Olimpik Rio 2016 sudah melabuhkan tirainya dengan pelbagai kisah suka duka serta kejayaan atlet handalan dunia membuktikan kemampuan mereka.

Kini bandaraya di Brazil itu sedia untuk menantikan satu lagi detik menarik iaitu penganjuran temasya Paralimpik yang bermula 7 September ini.

Penulis berasa cukup bertuah kerana diberikan peluang untuk membuat liputan temasya berprestij ini walaupun mungkin ramai beranggapan kemeriahannya sedikit berbeza berbanding saingan Olimpik.

Selepas hampir sehari dalam perjalanan ke Rio, penulis kini bersedia untuk menyaksikan sendiri kelibat kontinjen Malaysia yang diwakili 21 atlet secara keseluruhan.

Semangat "kami luar biasa" sentiasa tersemat di hati atlet paralimpik negara dan motto itu pastinya jadi peringatan bahawa mereka mampu lakukan yang terbaik untuk kibarkan Jalur Gemilang di Rio.

Begitu juga inspirasi sempena hari kemerdekaan Malaysia ke-59 tempoh hari di samping kejayaan atlet normal membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa jadi pembakar semangat buat mereka lakar kejayaan yang lebih baik.

Pencapaian satu pingat perak dan satu gangsa pada edisi 2012 London menjadi penanda aras yang perlu diatasi atau sekurang-kurangnya mengulangi prestasi berkenaan.

Sandaran sudah pasti kepada atlet olahraga yang membariskan sembilan atlet, diketuai Ridzuan Puzi bagi acara 100 meter T36 di samping Ziyad Zolkefli untuk pertahan pingat gangsa acara lontar peluru F20.

Selain itu, tumpuan juga terarah kepada atlet memanah, Hasihin Sanawi, apatah lagi turun sebagai pemenang pingat perak di London empat tahun lalu bagi acara recurve individu W1/W2.

Penulis turut ingin melihat keupayaan atlet berbasikal trek, Afiq Afify Rizan, yang akan bertanding dalam acara kejar mengejar serta ujian masa 1 kilometer di mana ini merupakan kali pertama Malaysia punyai wakil bagi saingan berkenaan.

Buat seluruh kontinjen negara yang diketuai Chef de Mission, Dr Ang Kean Koo, penulis ucapkan "tudo de bom" ataupun selamat maju jaya di Rio!

Advertisement

Must Watch Video